NELSON (tengah) meraikan jaringan pertamanya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
NELSON (tengah) meraikan jaringan pertamanya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
AFP

London: Reiss Nelson muncul wira yang jarang dijulang Arsenal apabila dia membantu kelab itu merampas semula kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris dengan membelasah Nottingham Forest 5-0.

Nelson diperkenalkan buat kali pertama dalam Liga Perdana musim ini selepas Bukayo Saka terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan sekali gus mencetuskan kebimbangan bos England, Gareth Southgate hanya beberapa minggu sebelum bermulanya kempen Piala Dunia.

Saka menjadi arkitek kepada gol pembukaan Gabriel Martinelli selepas hanya lima minit permainan sebelum diganti kerana kecederaan buku lali.

Nelson menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Perdana sejak Julai 2020 pada awal separuh masa kedua untuk memberi ruang kepada Arsenal bernafas.

Dia menambah gol kedua hanya tiga minit kemudian dan kemudian memberi umpanan kepada Thomas Partey yang kemudian menjaringkan gol keempat.

"Apabila dapat menjaringkan gol, ia adalah detik yang sangat hebat dapat beraksi.

"Saya sentiasa bekerja keras pada sesi latihan untuk menunggu peluang ini dan sudah pasti saya gembira kerana akhirnya dapat beraksi," kata Nelson yang menghabiskan musim lalu secara pinjaman ke Feyenoord.

Martin Odegaard melengkapkan kemenangan bergaya Arsenal dengan meledak gol kelima minit ke-78.

Kemenangan itu menyaksikan anak buah Mikel Arteta mempunyai kelebihan dua mata di tangga teratas mengatasi Manchester City.

"Ia sentiasa sukar untuk menang dalam liga ini dan hari ini kami sekali lagi menghadapi perlawanan yang sukar selepas beraksi di pentas Eropah. Saya fikir pasukan bertindak balas dengan sangat baik," kata Arteta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 8:01 AM