TCHETCHE  (dua kanan) tak pasti sama ada  kekal atau tidak bersama TFC musim depan. FOTO Ghazali Kori
TCHETCHE (dua kanan) tak pasti sama ada kekal atau tidak bersama TFC musim depan. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun belum mendapat 'lampu hijau' sama ada akan dikekalkan bersama Terengganu FC (TFC) musim depan atau sebaliknya, penyerang sensasi, Kipre Tchetche enggan memikirkan perkara itu.

Sebaliknya pemain kelahiran Ivory Coast yang digelar 'Drogba Ganu' itu mahu fokus untuk membantu pasukannya dalam saingan Piala Malaysia berdepan Sri Pahang FC.

Kapten berusia 35 tahun itu yang meledak 13 jaringan dalam saingan Liga Super dan tiga gol Piala FA musim ini tekad memburu tiket ke pentas final Piala Malaysia selepas membantu pasukannya menamatkan saingan liga di kedudukan kedua sekali gus layak beraksi di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), musim depan.

"Ya saya sangat gembira kerana kami dapat capai sasaran layak beraksi di pentas Piala AFC musim depan dan dapat perbaiki prestasi pasukan di tempat yang lebih baik musim ini.

"Walaupun buat masa ini masih belum ditawarkan kontrak lanjutan daripada pihak pengurusan TFC, tapi saya enggan memikirkan soal itu kerana fokus kini adalah Piala Malaysia dan tunggu apa yang akan terjadi selepas ini.

"Kemenangan sembilan perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Super menambah lagi keyakinan kami untuk meneruskan cabaran dalam kempen Piala Malaysia," katanya ketika dihubungi.

Tchetche turut berazam untuk meneruskan momentum cemerlangnya yang dilihat semakin 'berbisa' di penghujung musim.

"Saya merasakan saya kini berada dalam prestasi terbaik dan mahu meneruskan momentum ini pada aksi seterusnya. Saya juga gembira apabila dapat meledak gol dan dalam masa sama membantu pasukan untuk meraih kemenangan," tambahnya yang akui bukan mudah menentang Tok Gajah kerana saingan liga dan Piala Malaysia adalah kejohanan yang berbeza.

TFC bakal membuka kempen Piala Malaysia di gelanggang lawan apabila bertandang ke Stadium Darul Makmur pada 27 Oktober ini bagi aksi 16 terbaik dan seterusnya aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 1 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 5:53 PM