OTT (kiri) hampir pasti sarung jersi Kedah musim depan. FOTO Ihsan TFC
OTT (kiri) hampir pasti sarung jersi Kedah musim depan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain kebangsaan Filipina, Manuel Ott tidak lagi bersama pasukan Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan.

Situasi itu dikuatkan lagi selepas ketua jurulatih baharu TFC, Tomislav Steinbruckner memaklumkan beliau kini sedang berusaha melamar seorang pemain import bagi mengisi kuota Asean untuk menggantikan pemain yang lebih mesra dipanggil 'Manny' itu.

Desas-desus mengaitkan bekas 'arkitek' skuad Penyu itu akan menyarung jersi Kedah Darul Aman (KDA) FC walaupun pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd masih berminat untuk menyambung kontrak pemain berkenaan.

Bagaimanapun Ott ketika ditanya mengenai situasi itu enggan mengulas lebih lanjut, sebaliknya meminta para peminat bersabar menanti pengumuman daripadanya serta kelab baharunya nanti.

"Setakat ini saya belum mahu mendedahkan lagi pasukan yang bakal diwakili pada musim depan kerana mahu berehat terlebih dahulu selepas mengharungi saingan Liga M yang penuh cabaran.

"Jika tiba masa yang sesuai, saya atau kelab baharu akan memaklumkannya, terima kasih kepada semua peminat setia TFC yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada kami setiap kali bermain," katanya ringkas.

Selain Ott, turut meninggalkan pasukan adalah penyerang, Kpah Sherman yang difahamkan bakal menyarung jersi pasukan Sri Pahang FC manakala Kipre Tchetche masih lagi belum pasti destinasinya musim depan.

Setakat ini, skuad TFC hanya mempunyai dua pemain import yang sudah menandatangani kontrak iaitu pemain musim ini kelahiran Bahrain, Habib Haroon dan bekas pemain Melaka United FC (MUFC), Sony Norde.

Musim ini TFC yang dibimbing jurulatih muda, Nafuzi Zain melakar kejayaan cemerlang selepas berjaya melangkah ke pentas final Piala FA sebelum tumpas 1-3 kepada Gergasi Liga M, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Skuad Penyu itu juga berjaya melangkah ke pentas Piala AFC musim depan susulan menduduki tempat kedua Liga Super selain melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia sebelum tumpas secara agregat 2-3 kepada juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali, Selangor FC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 12:25 PM