AQIL  Irfanuddin antara pemain bakal diserapkan dalam pasukan utama musim depan. FOTO TFC
AQIL Irfanuddin antara pemain bakal diserapkan dalam pasukan utama musim depan. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih baharu Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mengenal pasti beberapa pemain berpotensi Terengganu FC II (TFC II) untuk 'dinaikkan pangkat' menyarung jersi pasukan utama dalam mengharungi kancah Liga Super musim depan.

Jurulatih kelahiran Croatia berusia 56 tahun itu menjelaskan, beberapa pemain muda dilihat layak untuk membarisi pasukan utama akan diberi peluang bagi meneruskan kesinambungan pasukan.

Antara pemain TFC II terbabit termasuk tiga pertahanan Muhammad Safwan Mazlan, Hairiey Hakim Mamat dan Muhammad Aqil Irfanuddin Mohamad Sabri selain pemain sayap, Nur Azfar Fikri Azhar dan Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid.

"Sasaran kami untuk menyediakan pasukan berkualiti pada musim depan sebagaimana musim ini dengan pencapaian begitu membanggakan iaitu muncul naib juara Piala FA, menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua serta layak beraksi di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan.

"Jadi bagi menambah lagi kekuatan pasukan yang bakal beraksi di pentas Asia, saya lihat beberapa pemain muda yang mempunyai bakat besar boleh diketengahkan bagi mengharungi saingan Liga M musim depan.

"Antara pemain tempatan berpotensi boleh diserapkan dalam pasukan utama seperti Safwan dan Aqil Irfanuddin serta beberapa nama lagi, ianya penting bagi perkembangan pemain berkenaan serta pasukan, kita harap mereka yang terpilih nanti mampu buktikan kemampuan masing-masing," kata bekas jurulatih kelab T-Team 2015 itu.

Ketika ditanya mengenai perancangan pemain import, beliau yang sebelum ini memegang jawatan PengarahTeknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, menjelaskan akan berhati-hati memilih mereka yang betul-betul berkualiti terutama TFC bakal beraksi dalam pentas Asia selain Liga M.

Sehingga kini skuad itu baharu merantai dua pemain import iaitu pemain kelahiran Haiti yang juga bekas pemain Melaka United FC (MUFC), Sony Norde dan pemain tengah kelahiran Bahrain, Habib Haroon yang disambung kontrak selama semusim lagi.

Musim ini, skuad bimbingan bekas jurulatih, Nafuzi Zain yang kini berkelana bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, mengikat penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman, Kipre Tchetche (Ivory Coast) selain pertahanan, Pape Diakite (Senegal) dan pemain kebangsaan Filipina, Manuel Ott.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 2:58 PM