NAFUZI anggap skuad Sri Pahang semakin meningkat, sekali gus menjanjikan perlawanan sengit. FOTO ihsan TFC
NAFUZI anggap skuad Sri Pahang semakin meningkat, sekali gus menjanjikan perlawanan sengit. FOTO ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui tidak tertekan sekalipun pasukannya diletakkan sebagai pilihan untuk melangkah jauh dalam kancah Piala Malaysia musim ini, susulan kejayaan muncul tempat kedua Liga Super dan naib juara Piala FA.

Sebaliknya, pengendali kelahiran Kelantan itu tetap tenang dan sudah bersedia untuk mengharungi kempen bermula dengan kunjungan ke Stadium Darul Makmur, Kuantan, untuk menentang Sri Pahang FC, Khamis ini.

Beliau yang sudah tiga musim bergelar ketua jurulatih TFC mengakui skuad kendalian Datuk Dollah Salleh kini mempunyai kekuatan berbeza berbanding dalam saingan liga dan sudah pasti liat untuk ditewaskan.

"Sri Pahang FC adalah pasukan sukar untuk ditewaskan lebih-lebih lagi ada peningkatan dalam saingan liga, pasukan mereka kuat, jadi beraksi di tempat mereka bukan senang untuk kita menang.

"Ketika kita menewaskan skuad itu di Stadium Darul Makmur pun, pemain terpaksa berhempas pulas untuk mengutip tiga mata, kini tambahan dua pemain naturalisasi mereka, Lee Tuck dan Sergio Aguero sudah pasti bakal memantapkan lagi pasukan itu.

"Walaupun sukar, kami tidak tertekan malah pemain sudah bersedia sepenuhnya dalam misi mencari bekalan sebelum aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak pada 1 November depan," katanya.

Ketika ditanya mengenai peluang pasukannya untuk melangkah ke pentas final bagi merebut trofi berprestij itu musim ini, bekas penyerang Terengganu itu menjelaskan setakat ini beliau tidak memikirkan lagi perkara itu.

"Sebagai jurulatih, sudah pasti saya ingin mencipta pencapaian terbaik buat TFC, sekarang kita berada pada landasan terbaik untuk sekali lagi ke pentas final Piala Malaysia, ia tidak mustahil jika kita berjaya meneruskan momentum kemenangan walaupun saingan sukar.

"Lagipun kita sudah buktikan layak ke final Piala FA sebelum tumpas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), begitu juga menamatkan saingan liga di kedudukan kedua, sekali gus mara ke pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan.

"Namun buat masa ini saya tidak memikirkan lagi tentang final, yang penting kita perlu memikirkan satu demi satu perlawanan sebelum mengintai peluang ke final," katanya yang ceria selepas dua tonggak importnya, Petrus Shitembi dan Pape Diakite sudah kembali menjalani latihan selepas pulih daripada kecederaan ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 2:43 PM