DARREN Lok (tiga kanan) antara peledak utama skuad PJ City FC. FOTO Ihsan PJ City FC
DARREN Lok (tiga kanan) antara peledak utama skuad PJ City FC. FOTO Ihsan PJ City FC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Biarpun kedudukan dalam Liga Super tidak tergugat, skuad Petaling Jaya (PJ) City FC tetap mengharapkan mereka dapat menutup tirai saingan musim ini dengan nokhtah kemenangan.

Skuad bimbingan P Maniam itu akan turun menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, pada perlawanan penutup tirai saingan Liga Super musim ini, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Pengurus pasukan, K Rajendran berkata, pasukan perlu mengekalkan prestasi terbaik dan meneruskan rentak kemenangan selepas berjaya menewaskan Penang FC, 2-0, pada perlawanan yang berlangsung Selasa lalu.

Katanya, kemenangan ke atas KL City perlu diterjemahkan kerana ia akan memberi peluang kepada pasukan itu untuk memperbaiki pencapaian dan kedudukan dalam carta liga musim ini.

"Ketika ini pasukan berada di tangga kesembilan dengan mengumpul 23 mata dan andai berjaya mendapat kemenangan ke atas KL City, pasukan akan meraih 26 mata.

"Peluang untuk menamatkan saingan musim ini di tangga kelapan mungkin cerah sekiranya Sri Pahang kecundang kepada Negeri Sembilan FC (NSFC).

"Apapun PJ City perlu menang dalam pertembungan dengan KL City ini untuk berada pada kedudukan yang lebih baik musim ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengenai persiapan menghadapi perlawanan berkenaan, Rajendran yakin pasukan sudah bersedia dan semua pemain berada pada tahap prestasi terbaik untuk menggalas cabaran itu.

Menurutnya, kemenangan yang dicipta ke atas Penang tempohari selain peningkatan persembahan ketika menentang Selangor FC, bakal memberikan motivasi yang tinggi kepada pemain untuk beraksi cemerlang dan seterusnya berusaha mendapatkan tiga mata.

Katanya, pasukan itu akan terus mengekalkan kesebelasan terbaik termasuk Darren Lok, K Kogileswaran, S Kumaahran, Mahalli Jasuli dan Khyril Muhymeen Zambri bagi memburu jaringan kemenangan.

"Walaupun tugas yang bakal mereka dihadapi nanti bukan mudah, namun ia menuntut komitmen tinggi setiap pemain kerana KL City bukan calang pasukan dan mereka juga ada kekuatan dan impian tersendiri.

"Oleh itu, diharap pemain PJ City tidak ambil mudah sebaliknya fokus dan bekerja keras dengan mengikuti setiap perancangan serta strategi dibuat jurulatih.

"Saya berharap pemain PJ City dapat memperagakan aksi mantap dalam aksi sepertimana mereka tunjukkan dalam latihan dan ketika menentang Penang dan saya juga yakin bukan sesuatu yang mustahil, untuk kita dapatkan kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 3:35 PM