RONALDO perlu bawa pasukannya untuk layak ke Piala Dunia 2022. -FOTO AFP
RONALDO perlu bawa pasukannya untuk layak ke Piala Dunia 2022. -FOTO AFP
AFP

Paris: Juara Eropah Itali dan Portugal mungkin akan bertemu dalam aksi play-off untuk merebut tempat ke Piala Dunia selepas diundi dalam kelompok yang sama.

Pasukan Azzurri dan Portugal kedua-duanya menamatkan saingan di tempat kedua kumpulan kelayakan masing-masing di belakang Switzerland dan Serbia.

Itali akan menjadi tuan rumah melayan Macedonia Utara pada pusingan pertama play-off Mac tahun depan dengan Turki akan berkunjung ke Portugal sebelum juara akan menentukan tempat ke final Piala Dunia di Qatar tahun depan.

Undian itu menyaksikan salah satu juara Eropah itu tidak akan beraksi di Piala Dunia tahun depan. Portugal menjuarai Euro pada 2016.

Juara antara Portugal dan Turki akan menjadi tuan rumah untuk perlawanan terakhir Laluan C.

"Ia satu undian yang sukar untuk kami," kata jurulatih Roberto Mancini. "Macedonia Utara adalah pasukan yang bagus dan jika kami menang kami perlu bermain di tempat lawan."

Itali - yang menewaskan England menerusi sepakan penalti pada final Euro 2020 awal tahun ini - berharap dapat mengatasi badi play-off empat tahun lalu di mana mereka tewas kepada Sweden dan gagal ke Piala Dunia buat pertama kali sejak tahun 1958.

Portugal menyertai setiap kejohanan utama sejak tercicir daripada Piala Dunia 1998.

Skuad kendalian Fernando Santos itu terlepas tiket kelayakan automatik selepas Aleksandar Mitrovic meledak gol kemenangan untuk Serbia pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

"Fokus kami sekarang adalah menewaskan Turki. Ia perlawanan yang penting untuk ke final dan menang. Kami sekarang perlu melakukan persediaan dan berada di tahap terbaik pada Mac.

"Ada ketika mereka (Turki) bermain baik, ada kala tidak. Mereka pasukan yang sentiasa memberikan cabaran sukar, tetapi saya yakin kami akan mara ke Piala Dunia," kata Santos.

Dalam Laluan A, Wales dan Scotland bakal bertembung untuk merebut tiket ke Qatar. Sebelum itu Scotland perlu mengatasi Ukraine manakala Wales berdepan Austria.

Russia bertemu Poland dalam Laluan B, dengan pemenang akan bertemu sama ada Sweden atau Republik Czech.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 8:20 AM