STUART Ramalingam. FOTO NSTP
STUART Ramalingam. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Format saingan Liga Piala MFL pada musim depan mungkin akan diubah dalam usaha memperbanyakan lagi perlawanan membabitkan pasukan bertanding.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam berkata, barisan pemain di saingan Liga Piala MFL perlu mempunyai lebih banyak minit perlawanan demi meningkatkan lagi kualiti dan kemahiran mereka.

Beliau berkata, pihaknya akan memperincikan lagi saingan Liga Piala MFL bagi memastikan cadangan terbabit dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

"Format pertandingan kemungkinan akan dimajukan bagi memastikan pasukan bawah 23 tahun (B-23) mendapat perlawanan yang lebih dan musim yang lebih panjang.

"Itu sedang dibincangkan tetapi keputusan-keputusan teknikal ini saya akan adakan perjumpaan bersama CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Pengarah Teknikal pada awal tahun depan untuk pastikan apa-apa perubahan dapat sokongan setiap kelab," katanya.

Mengikut rekod, saingan Piala MFL pada musim ini berlangsung menggunakan format kumpulan iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B dengan empat pasukan teratas dari kedua-dua kumpulan akan mara ke kelompok Juara Piala MFL.

Dua pasukan teratas saingan kumpulan Juara Piala MFL akan beraksi dalam perlawanan akhir yang mana Terengganu FC II (TFC II) berjaya menjadi juara sulung Piala MFL selepas menewaskan JDT II.

Sementara itu, Stuart berkata, saingan Liga Piala MFL akan lebih kompetitif pada barisan pemain B-23 negara sekali gus mereka tidak akan bergelut atau tercicir apabila beraksi bersama pasukan senior.

"Objektif utama kewujudan Piala MFL adalah bagi memastikan perkembangan pemain muda dengan mendapat minit permainan yang cukup supaya mereka tidak bergelut apabila diserap ke skuad utama kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 6:33 PM