INZAGHI memberi arahan kepada pemain Inter Milan pada perlawanan menentang AS Roma, Sabtu lalu. FOTO AFP
INZAGHI memberi arahan kepada pemain Inter Milan pada perlawanan menentang AS Roma, Sabtu lalu. FOTO AFP
AFP

Milan: Inter Milan berada dalam krisis menjelang kunjungan Barcelona ke San Siro, yang dianggap aksi penting untuk menentukan kemaraan mereka ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Kekalahan di tempat sendiri Sabtu lalu di tangan Roma yang dibimbing bekas legenda Inter, Jose Mourinho menyebabkan skuad bimbingan Simone Inzaghi itu ketinggalan lapan mata dalam pemburuan gelaran Serie A dan menimbulkan kerisauan mengenai cabaran pada musim ini.

Ia adalah kekalahan keempat dalam liga musim ini dan persediaan perlu dilakukan untuk perlawanan di San Siro, Selasa ini, apabila Inter dan Barca berebut tempat kedua dalam Kumpulan C.

Kedua-dua pasukan ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Bayern Munich dan pertembungan itu akan menyaksikan kemaraan mereka ke peringkat Eropah.

Malah, Bayern berpeluang cerah mara ke kelompok 16 terbaik apabila memiliki dua aksi menentang kelab tercorot, Viktoria Plzen.

Kekalahan akan menyebabkan Inter dan Inzaghi tersisih daripada objektif utama musim ini dan menimbulkan pandangan serong terhadap jurulatih itu, walaupun kelab memberi jaminan jawatannya tidak berisiko.

Inter kini mengalami jumlah kekalahan sama dengan keseluruhan musim lalu, apabila mereka terlepas gelaran Serie A pada hari terakhir musim kepada seteru setempat, AC Milan.

Inter perlu berjuang dengan kemampuan sendiri untuk layak ke UCL musim depan pada ketika mereka sebenarnya semakin meningkat dan menjadikan liga utama Itali lebih kompetitif sejak beberapa tahun lalu.

"Tugas kami sebagai jurulatih selalu berdepan risiko setiap minggu," kata Inzaghi selepas kekalahan kepada Roma.

Inzaghi menegaskan aksi Sabtu lalu adalah prestasi terbaik mereka pada musim ini dan kedudukan 1-1 sehingga rehat menunjukkan keseimbangan perlawanan.

Bagaimanapun, kesilapan individu sekali lagi menghukum Inter apabila Nicolo Barella gagal mengawal hantaran Hakan Calhanoglu dan Dybala menjaringkan gol penyamaan buat Roma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 11:14 AM