LOWRY waspada jentera serangan TFC.
LOWRY waspada jentera serangan TFC.
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Tonggak pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Shane Lowry menyifatkan pertembungan menentang Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di Kuala Terengganu, malam esok bakal sengit.

Bekas pemain Al Ahli FC itu menegaskan setiap kali JDT menentang TFC, ia bakal menjanjikan debaran tatkala pasukan yang dibimbing Nafuzi Zain memilki barisan pemain berkualiti dan ditambah pula mereka juga layak ke final Piala FA dan akan menentang skuad Harimau Selatan nanti.

Katanya, benteng pertahanan JDT harus lebih komited pada perlawanan itu nanti dan mengelak melakukan kesilapan kerana barisan serangan TFC bijak menghidu peluang dan pantas melakukan serangan berbahaya.

"Walaupun saya tidak pasti sama ada Tcheche (Kipre) dan Petrus (Shitembi) bakal beraksi atau tidak selepas mereka mengalami kecederaan pada pertembungan separuh akhir Piala FA tapi kami perlu bersedia kerana kedua-dua pemain mungkin akan diturunkan bertemu JDT dan mampu menggugat benteng pertahanan.

"Apapun, saya tidak nafikan TFC begitu kebal di laman mereka sendiri dan dibarisi pemain hebat selain mendapat sokongan padu daripada penyokong dan sudah tentu ia bakal menjanjikan perlawanan menarik dan pastinya ramai peminat melabelkan perlawanan itu nanti ibarat pra-final Piala FA.

"Bagaimanapun kami akan bersedia dengan perancangan yang lebih ampuh oleh jurulatih (Hector Bidoglio) dan akan turun dengan keyakinan tinggi dengan berbekalkan motivasi selepas mempamerkan aksi konsisten pada dua perlawanan lalu," katanya.

Lowry juga optimis kesebelasan pemain JDT yang bakal diturunkan mampu beri persembahan terbaik pada perlawanan itu nanti dalam usaha untuk merekodkan kemenangan di gelanggang lawan dan ingin mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 13 perlawanan liga.

Tambahnya, corak permainan ditampilkan TFC tampak lebih gemar melakukan rembatan dari luar kotak penalti dan semestinya tonggak tengah pasukan itu, Manuel Ott harus diawasi supaya dia tidak melakukan rembatan bola ke arah gawang JDT.

"Kami juga harus berwaspada dengan kelicikan dua pemain sayap kiri dan kanan TFC iaitu Faisal Halim dan Faiz Nasir yang begitu pantas dan bijak menyusup masuk ke dalam kotak penalti," kata Lowry.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 2:02 PM