MAURICIO giat menjalan latihan menjelang pertemuan menentang Kelantan FC pada aksi Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
MAURICIO giat menjalan latihan menjelang pertemuan menentang Kelantan FC pada aksi Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Mampukah Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berstatus juara pada musim 2019 memulakan kempen Kumpulan D saingan Piala Malaysia menentang Kelantan FC dengan langkah kanan pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Atau skuad bimbingan Benjamin Mora bakal berputih mata jika skuad The Red Warriors (TRW) melakar kejutan pada perlawanan itu nanti.

Persoalan itu bakal terjawab pada 90 minit aksi yang bakal menentukan pasukan mana mampu meraih kemenangan.

Di atas kertas, skuad yang bergelar Harimau Selatan tidak berdepan masalah untuk menjinakkan anak didik Reezal Zambery Yahya tatkala barisan pemain Mora baru mengecapi kejayaan meraih kejuaraan Liga Super kali kelapan berturut-turut.

Malah Mora sendiri tampak ingin meneruskan kecemerlangan pasukan bimbingannya untuk cuba mempertahankan piala berprestij yang dimenangi pada musim 2019 selepas musim lalu saingan itu tidak dipertandingkan akibat pandemik Covid-19.

"Selepas kejayaan Liga Super, kami mahu satu lagi piala dan akan berusaha untuk mengekalkan momentum kemenangan kerana itu adalah misi JDT iaitu mahukan kemenangan dalam setiap perlawanan yang ditempuhi.

"Tapi saingan Piala Malaysia dengan aksi liga kerana tempoh perlawanan singkat dan ia akan beri cabaran buat kami untuk memastikan persiapan rapi dilaksanakan," kata Mora.

Di sebalik pemburuan kemenangan pertama dalam saingan piala tertua di rantau Asia, Mora kemungkinan akan mengekalkan barisan pemain terkuat untuk berdepan Kelantan FC yang rata-rata dibarisi pemain muda.

Kelibat Bergson Da Silva yang meledak 23 gol sepanjang kempen liga akan menjadi taruhan bagi mengemudi jentera serangan manakala posisi sayap kiri dan kanan kemungkinan Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid akan menguatkan posisi berkenaan.

Posisi tengah JDT harus mantap namun kelibat Leandro Velazquez belum pasti diturunkan selepas mengalami kecederaan dan kemungkinan gandingan Natxo Insa, Safiq Rahim dan Nazmi Faiz Mansor akan bermain di posisi itu.

Seperti biasa Mora akan mengekalkan Farizal Marlias mengemudi gawang gol sambil benteng pertahanan bakal dikemudi Mauricio Dos Santos bergandingan sama ada Shane Lowry atau Adam Nor Azlin manakala bek kanan dan kiri bakal menyaksikan Corbin Ong yang tidak diturunkan dalam beberapa aksi akan diberi tugas semula di posisi bek kiri dan Matthew Davies di posisi bek kanan.

"Apapun pemain yang bakal diturunkan nanti boleh memandang ringan dengan prestasi Kelantan FC yang boleh menjadi ancaman dalam perlawanan itu dan mereka sentiasa fokus tanpa membuat kesilapan yang boleh menidakkan usaha mencipta kemenangan," kata Mora

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 2:59 PM