BARISAN pemain Bayern meraikan kejayaan menewaskan Arminia Bielefeld. -FOTO Reuters
BARISAN pemain Bayern meraikan kejayaan menewaskan Arminia Bielefeld. -FOTO Reuters
AFP

Berlin: Bayern Munich boleh mengesahkan kejuaraan Bundesliga yang ke-10 berturut-turut minggu ini selepas mereka bangkit daripada penyingkiran Liga Juara-Juara dengan kemenangan 3-0 di Arminia Bielefeld.

Gol sendiri oleh pertahanan Bielefeld, Jacob Laursen dan gol dari Serge Gnabry dan Jamal Musiala menyaksikan Bayern selesa mendahului di puncak liga dengan sembilan mata.

"Kemenangan ini berjaya mengubat sedikit kekecewaan selepas kami tersingkir," kata Gnabry.

Bayern kembali meraih kemenangan lima hari selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah susulan kekalahan 2-1 secara agregat di tangan Villarreal.

"Saya masih sukar untuk menerimanya," kata pemain tengah Joshua Kimmich yang beraksi cemerlang semalam.

"Ia masih dalam ingatan."

Aksi liga masih berbaki empat perlawanan dengan Bayern boleh mengesahkan kejuaraan sekiranya menewaskan pasukan di tangga kedua Borussia Dortmund Sabtu ini di Munich.

"Kami pasti mahu menang menentang Dortmund," kata Kimmich.

Sementara itu Dominik Szoboszlai meledak gol kemenangan lewat permainan untuk RB Leipzig menewaskan Bayer Leverkusen, dan memintas lawan itu untuk tangga ketiga liga.

Eintracht Frankfurt tewas 2-0 di Union Berlin tiga hari selepas mereka mengejutkan Barcelona 3-2 dalam saingan Liga Europa di Camp Nou Khamis lalu untuk mara ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 7:56 AM