PEMAIN JDT II, Daryl Sham George (dua dari kanan) menjaringkan dua gol ketika membelasah UiTM FC 4-0, malam tadi. FOTO ihsan JOHOR SOUTHERN TIGERS.
PEMAIN JDT II, Daryl Sham George (dua dari kanan) menjaringkan dua gol ketika membelasah UiTM FC 4-0, malam tadi. FOTO ihsan JOHOR SOUTHERN TIGERS.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Marianio Echeverria enggan meletak sasaran tinggi memburu kejuaraan Liga Premier pada musim ini selepas membelasah UiTM FC, 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, malam tadi.

Pengendali dari Argentina itu berkata, JDT II perlu mengharungi baki tujuh perlawanan dan enggan memberi tekanan buat barisan pemain supaya mengejar kejuaraan liga, sebaliknya mahu memberi tumpuan pada setiap perlawanan.

"Kami tidak mahu beri tekanan kepada pemain, biar mereka selesa beraksi dan mengharungi satu demi satu perlawanan dengan tenang dan mengikut perancangan direncanakan.

"Perbezaan pungutan mata kami dengan Kelantan FC hanya satu mata sahaja apabila kami mengumpul 25 mata manakala lawan berkelebihan satu mata.

"Perjalanan untuk mengakhiri saingan liga masih jauh. Apapun saya bangga dengan corak permainan pemain apabila melakar kemenangan besar ke atas UiTM FC, malah persembahan pemain baharu, Daniel Ting amat konsisten walaupun pertama kali beraksi di posisi bek tengah berbanding posisi asalnya bek kiri," katanya.

JDT II mencipta gol menerusi pemain muda, Daryl Sham George pada minit ke-20 dan minit ke-62 serta gol minit akhir Gabriel Nistelrooy Tamin membuktikan pasukan itu tidak terlalu bergantung kepada barisan pemain import.

Malah, gol awal Moussa Sidibe pada minit ke-26 mencetus semangat pemain tempatan untuk menyerlah pada perlawanan itu.

Daryl Sham dilihat menunjukkan peningkatan mendadak dan kembali menemui sentuhan jaringan, sekali gus bakal digilap supaya bersedia diserapkan di dalam skuad utama JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 1:11 PM