DARYL Sham gembira selepas menjaringkan gol pada aksi menentang Kelantan United FC. -FOTO ihsan Johor Southern Tigers.
DARYL Sham gembira selepas menjaringkan gol pada aksi menentang Kelantan United FC. -FOTO ihsan Johor Southern Tigers.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Raul Mariano menegaskan pemain muda, Daryl Sham Georger belum berada di tahap permainan terbaik dan perlu digilap lagi bagi memastikan dia mampu menggalas tugas selaku penyerang pasukan itu.

Menurut Mariano, pemain berusia 18 tahun itu akan diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama skuad Merah Biru pada aksi Liga Perdana malah beliau menganggap kemampuan pemain itu yang sudah meledak dua gol selepas dua perlawanan liga beri lebih keyakinan buat pemain itu.

"Masih terlalu awal untuk Daryl Sham selesa sebagai pemain utama JDT II, dia harus bekerja keras lagi kerana perlu keluar daripada perasaan gugup dan harus lebih yakin apabila beraksi pada setiap perlawanan yang diharungi.

"Daryl Sham harus ambil kesempatan sebaik mungkin kerana corak permainannya masih perlahan dan menjadi tanggungjawab saya untuk meningkatkan lagi prestasinya malah dia perlu berani apabila berdepan dengan benteng pertahanan lawan," katanya.

Mengulas kemenangan JDT II menewaskan Kelantan United FC (KUFC) 2-0 pada aksi liga di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, malam tadi pengendali kelahiran Argentina itu belum berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan skuad bimbingannya.

Katanya, persiapan yang singkat juga menjejaskan rentak permainan dan mengakui JDT II gagal mendominasi perlawanan terutama pada babak pertama sehingga memberi ruang buat skuad kendalian Syamsul Saad memberi tekanan terhadap benteng pertahanan.

"Kami hanya menjalani latihan dalam tempoh tiga hari sahaja untuk berdepan KUFC dan saya perlukan masa untuk membentuk persefahaman antara pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan JDT II .

"KUFC tampak beri kesukaran kepada kami beraksi apabila sering mengancam pertahanan kami malah mereka juga berpeluang menjaringkan gol di awal babak pertama tapi mujur penjaga gol (Izham Tarmizi Roslan) tangkas menyelamatkan bola daripada dibolosi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 2:13 PM