DOLLAH (kanan) ketika sesi latihan. FOTO FOTO Sri Pahang FC
DOLLAH (kanan) ketika sesi latihan. FOTO FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Selepas kecewa misi ke separuh akhir Piala FA tidak menjadi kenyataan, Sri Pahang FC kembali fokus dalam saingan Liga Super apabila melayan Selangor FC di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Pengendali skuad itu, Dollah Salleh berkata, tidak mahu lagi dikecewakan, skuad Tok Gajah menggandakan latihan terutama memberikan tumpuan kepada aspek kecergasan.

"Dalam tempoh tiga hari ini saya lebih menumpukan kepada kecergasan memandangkan pemain tidak berada pada tahap terbaik seperti yang dipersembahkan ketika tewas kepada Penang FC pada suku akhir Piala FA Sabtu lalu.

"Diharapkan berdepan Selangor, tahap kecergasan pemain dapat dipertingkat untuk memastikan skuad ini kembali mencatat kemenangan.

"Bukan sahaja kecergasan, malah pemain perlu mengekalkan fokus sepanjang 90 minit perlawanan," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Pada aksi suku akhir berdepan Penang Sabtu lalu, Sri Pahang bermain cemerlang dalam tempoh 40 minit perlawanan hingga mendahului lawan 2-0.

Namun, hilang fokus dan keletihan menyebabkan skuad Tok Gajah terpaksa akur tewas 2-5 sekali gus memadam impian mara ke separuh akhir piala berprestij itu.

Justeru, Dollah yang baru sahaja mengambil alih jawatan selaku ketua jurulatih mahu pemainnya bangkit untuk kembali meletakkan skuad pada prestasi lebih baik.

Katanya, biarpun sedar bakal berdepan tentangan sengit susulan prestasi Selangor, anak buahnya perlu lebih berhati-hati.

"Saya harap pemain dapat mengembalikan tempo permainan mereka dan memanfaatkan segala peluang yang dimiliki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 1:41 PM