PENGENDALI Sri Pahang, Dollah Salleh. -FOTO Asrol Awang
PENGENDALI Sri Pahang, Dollah Salleh. -FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Hilang fokus dan keletihan antara faktor Sri Pahang FC tewas 2-5 kepada Penang FC pada aksi suku akhir Piala FA, malam tadi.

Pengendalinya, Dollah Salleh berkata, kegagalan menyekat kebangkitan Penang terutama pada babak kedua perlawanan menyebabkan skuad itu gagal mencapai misi ke separuh akhir piala berprestij itu.

"Jika dilihat kepada keseluruhan perlawanan, Sri Pahang hanya bermain baik pada 40 minit pertama perlawanan.

"Gol di penghujung separuh masa pertama menyebabkan corak permainan dan persembahan pasukan berubah.

"Gol itu tidak sepatutnya berlaku dan ia satu kesilapan yang menyebabkan Penang bangkit dan mengambil peluang," katanya.

Pada perlawanan itu, skuad Tok Gajah bermula cemerlang dengan mendahului 2-0 sebelum Penang bangkit mencipta kemenangan 5-2 yang mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Lebih-lebih Sri Pahang yang beraksi dengan sembilan pemain pada masa tambahan menyukarkan skuad itu menyekat Penang.

Dua gol Sri Pahang, masing-masing satu dijaringkan oleh Steven Rodriguez dan Azwan Aripin pada minit ke-12 dan 20.

Lima gol Penang pula, masing-masing dijaringkan T Saravanan pada minit ke-45, Hilal Alhelwe (m-86 danm-99, Lucas espindola (m-96) dan K Thivandaran (m-118).

Namun, di sebalik kekalahan itu, Dollah tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya terutama pada aksi 40 minit pertama perlawanan.

Pada masa sama, beliau baharu sahaja mengambil alih jawatan sebagai ketua jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 1:21 PM