PEMAIN Kedah giat menjalani latihan. FOTO KDA FC
PEMAIN Kedah giat menjalani latihan. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kemenangan 3-1 yang dilakar Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ke atas Sarawak United sebelum ini mendorong Sang Kenari memburu kemenangan apabila berkunjung ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bagi aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC (KL City), malam esok.

Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak yang kini kembali cergas selepas dikhabarkan kurang sihat beberapa hari lalu berkata, meskipun sedar cabaran sengit terpaksa dilalui di tempat lawan, beliau menyeru pemainnya agar mengulangi rentak terbaik mereka seperti yang dipamerkan di Stadium Darul Aman.

"Memang kami tahu cabaran yang sukar apabila berdepan KL City, oleh itu saya mahu setiap pemain mengekalkan rentak kemenangan yang baru diperolehi di Darul Aman minggu lalu.

"Namun dalam perlawanan ini, siapa yang melakukan kesilapan pasti akan 'gigit jari' dan saya mahu Kedah cuba mengelak dari melakukan kesilapan mudah yang boleh merugikan peluang dalam usaha memburu mata penuh malam esok.

"Pemain perlu pastikan mereka tidak leka selepas mendapat suntikan kemenangan lalu bagi mengelak keciciran mata dan memastikan kedudukan di tangga keempat ini tidak pintas oleh tiga pasukan di bawah termasuk KL City," katanya.

Dalam masa yang sama Aidil mengakui Sang Kenari wajib memastikan setiap peluang yang diperolehi dimanfaatkan dengan penyudah gol disamping mengekalkan disiplin di bahagian pertahanan.

"Pemain harus kekal fokus dalam misi memburu tiga mata kali ini dengan memastikan setiap peluang yang hadir dapat dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

Rekod perlawanan berdepan KL City musim ini menyaksikan kemenangan 3-2 berpihak Kedah yang berlangsung di Stadium Darul Aman pada 9 Mac lalu, manakala melalui lapan perlawanan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan, KDA FC belum mencatat kemenangan di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 1:18 PM