AIDIL SHARIN mengakui misi sukar skuadnya untuk bangkit segera apabila bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam esok. FOTO KDA FC
AIDIL SHARIN mengakui misi sukar skuadnya untuk bangkit segera apabila bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam esok. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak sedar tugas sukar terpaksa dihadapi Sang Kenari apabila berdepan sebuah lagi pasukan dalam kelompok lima terbaik liga iaitu Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam esok.

Ini kerana skuadnya perlu bangkit dengan segera bagi mendapatkan kembali momentum kemenangan selepas keciciran mata pada dua aksi ketika menentang PJ City dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini.

Tambahan pula aksi bertemu Negeri Sembilan FC kali ini tidak semudah yang diramalkan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi pertama musim ini di Stadium Darul Aman pada 17 Mei lalu.

"Bukan satu mudah untuk aksi kali ini memandangkan keupayaan Negeri Sembilan yang berada pada kedudukan keempat liga dilihat kian menyerlah dengan hanya tewas kepada JDT dan KL City dalam tujuh rekod perlawanan sebelum ini.

"Jadi ini adalah tugas yang sukar buat kami selepas baru sahaja tewas kepada JDT di laman sendiri dan kini perlu beraksi di tempat lawan untuk bangkit kembali mencari rentak kemenangan dalam tempoh hanya tiga hari.

"Kami perlukan usaha berganda di tempat lawan untuk berdepan tuan rumah yang juga mahu bangkit dari kekalahan selepas dikecewakan JDTbagi mengelak dikecewakan tiga kali berturut-turut," katanya.

Aidil bagaimanapun berkata usaha memburu kemenangan buat Sang Kenari sangat penting bagi menaikkan moral pasukan yang terkesan lantaran kekalahan pada aksi di laman sendiri itu.

"Saya berharap kali ini kami mampu mendapatkan kembali momentum kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan kami dalam liga dan mengakhiri tiga perlawanan terakhir liga dengan lebih berkeyakinan.

"Keputusan seri pada perlawanan pertama dahulu menjadi pengajaran buat kami turun beraksi di tempat lawan malam esok untuk memperbaiki rekod kami pada aksi liga ini.

"Meskipun melalui jadual padat kini, saya sangat berharap pemain dapat cekalkan semangat, teruskan usaha terbaik mereka dan perlu mengambil setiap peluang yang hadir dan memanfaatkan peluang itu dengan sebaik mungkin," katanya.

Kedah yang kini mengumpul 27 mata berada pada tangga keenam carta Liga Super sementara Negeri Sembilan pula berada pada tangga keempat dengan jumlah 35 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 3:33 PM