KETUA jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak. -FOTO NSTP
KETUA jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak. -FOTO NSTP
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mahu bangkit dengan formula kemenangan bagi memastikan tidak lagi keciciran mata apabila melayan kunjungan Sarawak United FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman malam esok.

Peluang terbaik untuk kembali mendapatkan tiga mata penuh selepas kempunan dalam lima perlawanan lalu melalui tiga kekalahan dan dua keputusan seri tidak harus dilepaskan Sang Kenari.

Menurut ketua jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak, beliau menggesa pemainnya agar tidak patah semangat, fokus dan terus bekerja keras mencari rentak kemenangan di sebalik dua kekalahan terbaru 0-1 dan 1-2 kepada Terengganu FC (TFC) yang dialami sebelum ini.

"Kita tiada pilihan selain wajib mengutip tiga mata apabila beraksi di laman sendiri, dan peluang ini tidak harus disia-siakan memandangkan kita punyai kelebihan beraksi di laman sendiri.

"Apa yang penting saya mahu pemain teruskan fokus, tingkatkan komitmen mereka dalam memburu kemenangan kerana kita tidak boleh lagi kehilangan mata dengan kedudukan tangga ketujuh pada ketika ini," katanya.

Dalam masa yang sama Aidil juga mengingatkan pemain untuk sentiasa berwaspada dengan kekuatan yang ada pada Sarawak United yang turut mengintai kemenangan walaupun Sang Kenari memiliki rekod kemenangan 1-0 ke atas skuad The Crocs itu pada awal musim ini.

"Kita harus sentiasa berwaspada dengan kekuatan tersendiri yang dimiliki Sarawak United kerana mereka juga memiliki ketajaman yang mampu memberi ancaman bahaya yang antaranya daripada import berpengalaman Uche Agba dan Francis Kone," katanya.

Kedah kini menghuni tangga ketujuh carta Liga Super selepas mengumpul 14 mata melalui 10 perlawanan sementara Sarawak United berada di tangga ke-10 mengumpul 10 mata melalui 11 perlawanan yang dilalui.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 12:30 PM