LINGARD (kanan) tinggalkan Manchester United selepas 11 tahun. -FOTO Reuters
LINGARD (kanan) tinggalkan Manchester United selepas 11 tahun. -FOTO Reuters
AFP

Manchester: Nottingham Forest yang dinaikkan pangkat ke saingan Liga Perdana berjaya dalam pemburuan mereka mendapatkan Jesse Lingard secara percuma, semalam.

Lingard meninggalkan Manchester United bulan lalu sebagai ejen bebas selepas 11 tahun berada di Old Trafford.

Pemain berusia 29 tahun itu menjaringkan 35 gol dalam 231 penampilan untuk Red Devils dan turut mempamerkan aksi cemerlang ketika dipinjamkan ke West Ham pada musim 2020/21.

Khabar angin mengatakan bahawa dia akan kembali ke Hammers namun mereka melaporkan terkejut dengan tawaran Forest untuk perjanjian selama setahun bernilai £200,000 (RM1.06 juta) menurut The Guardian.

Lingard juga berharap dapat kembali menguasai arena bola sepak untuk mendapat tempat dalam skuad Piala Dunia, England.

Pemain tengah itu adalah sebahagian daripada pemain yang berada dalam skuad Gareth Southgate ketika skuad itu mara ke separuh akhir Piala Dunia empat tahun lalu namun tidak disenaraikan dalam skuad Euro 2020.

Di Forest, Lingard akan bergandingan bersama bekas rakan pasukan United Dean Henderson yang bersama kelab itu secara pinjaman awal bulan ini.

Selain itu Forest turut mengikat Moussa Niakhate, Giulian Biancone, Omar Richards, Neco Williams, Harry Toffolo, Lewis O'Brien, Brandon Aguilera, Wayne Hennessey dan Taiwo Awoniyi dalam usaha mereka untuk bersedia menghadapi musim pertama di liga utama selepas 24 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 8:28 AM