KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam. FOTO ARKIB NSTP
KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan perjalanan Liga Super musim 2023 tidak berdepan masalah walaupun terdapat kemungkinan pasukan menarik diri.

Ini kerana MFL mahu memandang ke depan dengan memastikan perjalanan Liga Super menerusi format baharu tidak 'goyah' atau hilang daya tarikan, walaupun terdapat kekurangan membabitkan penyertaan pasukan.

Mengikut format baharu, saingan Liga Super musim depan akan disertai 18 pasukan dengan Liga Perdana akan dimansuhkan bagi tempoh tertentu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam memaklumkan jika ada pasukan mahu menarik diri, dinasihatkan supaya melakukannya sebelum saingan liga bermula bagi mengelak pelbagai masalah berlaku terutama membabitkan perubahan jadual.

Beliau berkata, walaupun ketika ini pihaknya tidak menerima permohonan rasmi untuk menarik diri, MFL sudah bersedia mengenai perkara itu terutama apabila saingan liga 2024 akan membabitkan pengurangan sehingga 16 pasukan.

"Tahun 2024 sepatutnya Liga Super mempunyai 16 pasukan dan itu adalah perancangan awal. Kalau ada satu atau dua pasukan tarik diri tidak akan mengubah perancangan MFL dan akan kekal seperti biasa.

"Cuma jika mahu menarik diri adalah lebih baik sebelum saingan liga bermula untuk memastikan apa juga perubahan format dan struktur tidak berhadapan masalah," katanya.

Terdahulu, terdapat perkhabaran menyatakan sekurang-kurangnya dua pasukan bakal menarik diri daripada menyertai saingan Liga Super musim depan.
Situasi terbabit berlaku berikutan kantung kewangan pasukan terbabit berada dalam situasi 'tenat', sekali gus sukar untuk mengharungi saingan Liga Super 2023.

Dua pasukan membabitkan kelab Liga Super dan Liga Perdana itu melihat pertambahan perlawanan menyebabkan kos pengangkutan dan penginapan akan meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 8:11 PM