AKSI barisan pemain JDT ketika bertemu Penang FC pada perlawanan terakhir Liga Super 16 Disember lalu. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
AKSI barisan pemain JDT ketika bertemu Penang FC pada perlawanan terakhir Liga Super 16 Disember lalu. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Liga Malaysia (Liga M) perlu manfaatkan tempoh empat hingga lima bulan dengan merangka pelbagai perlawanan persahabatan dan kejohanan sebelum saingan liga bermula pada Mei tahun depan.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, kebanyakan pasukan sudah pastinya menandatangani pemain pada Januari 2024 bagi mengelak tonggak mereka disambar kelab lain.

Katanya, hal ini menyaksikan kelab perlu menyusun program atau perlawanan membabitkan pemain mereka bagi mengelak 'berkarat' sekali gus ia boleh menjejaskan prestasi pasukan sebelum saingan Liga M bermula kelak.

"Sekarang ini kita pun sudah lihat ada beberapa kelab menandatangani pemain sekali gus menyaksikan mereka akan dibayar bermula Januari namun sepak mula saingan liga pada Mei tahun depan.

"Dalam tempoh empat hingga lima bulan khidmat mereka tidak dapat digunakan sekali gus ini adalah cabaran baharu yang perlu dihadapi pasukan.

"Saya mengharapkan tidak akan berlakunya tunggakan gaji atau sebarang masalah dalam tempoh berkenaan sekali gus akan menjejaskan perjalanan saingan liga pada musim 2024," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan mengikut format kalendar Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sekali gus menyaksikan saingan bermula pada 3-5 Mei 2024 sehingga April 2025.

Menerusi kenyataan media MFL memaklumkan bahawa pihaknya terpaksa melakukan sedikit perubahan pada tarikh asal sepak mula Liga Malaysia sebelum ini iaitu pada pertengahan April 2024 selepas mengambil kira beberapa faktor.

Katanya, MFL perlu mengambil kira pembabitan pemain kelab Liga M bersama skuad senior kebangsaan, pasukan bawah 23 tahun negara (B23), penyertaan kelab di Piala AFC 2023, persiapan pra-musim dalam bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Selepas Liga M melabuhkan tirai pada 17 Disember lalu, pemain Harimau Malaya akan melaporkan diri ke kem latihan pusat pada 26 Disember 2023 sebelum mengharungi Kejohanan Piala Asia 2023 di Doha, Qatar pada 12 Januari hingga 10 Februari 2024.

"Kemudian tugasan skuad Harimau Malaya akan diteruskan dengan perlawanan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 21 dan 26 Mac 2024," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 3:59 PM