PEMAIN Kelantan FC meraikan kemenangan selepas menumpaskan UiTM FC 1-0  di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PEMAIN Kelantan FC meraikan kemenangan selepas menumpaskan UiTM FC 1-0 di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kelantan FC kembali merampas takhta teratas liga daripada Terengganu FC (TFC) II apabila menewaskan UiTM FC 1-0 dalam saingan Liga Perdana, petang tadi.

Tiga mata yang diperoleh menjadikan Kelantan kini mengumpul 25 mata mengatasi 23 mata terkumpul TFC II yang seri 0-0 menentang Perak, Sabtu lalu.

Gol tunggal anak buah Rezal Zambery Yahya diperoleh daripada pemain simpanan, Syed Sobri Syed Mohd pada minit ke 76 menerusi sepakan terus ke gawang gol.

Terlebih dahulu, babak pertama menyaksikan strategi 'serba tak kena' pasukan tuan rumah apabila beberapa percubaan membolos gol pelawat digagalkan beberapa pemain seperti Nurshamil Abd Ghani dan pemain import.

Pelawat menerusi sepakan tengah pemain, Muhammad Eizrul Ashraf Nor Effendy hampir membolos gol Kelantan namun didakap kemas penjaga gol, Nik Mohd Amin Ahmad.

Tuan rumah terus bernafsu memburu kemenangan apabila import, Kervens Belfort cuba menghantar bola kepada pemain Shahrul Igwan Samsudin yang membuat hantaran lintang namun gagal disempurnakan Jasmir Mehat apabila melambung tinggi ke tiang gol lawan.

Minit ke 11 turut menyaksikan ketumpulan penyudah skuad kijang merah apabila sepakan sudut oleh Dzulfahmi Abdul Hadi disia-siakan import, Felipe Hereda.

Rembatan kaki kiri pemain UiTM FC, Muhamad Faris Hafiz Azhar pula berjaya dikuis Nik Mohd Amin Ahmad menjadikan keputusan 0-0 tanpa jaringan hingga tamat babak pertama.

Bermain di babak kedua, Kelantan mula beraksi garang apabila membuat beberapa percubaan menjaringkan gol.

Antaranya menerusi Belfort yang merembat deras ke gawang gol dan Hereda yang menanduk tinggi bola ke gawang.

Berlaku sedikit kekecohan apabila pengadil meneruskan permainan walaupun pemain UiTM FC iaitu Eizrul Ashraf cedera.

Tuah Kelantan muncul pada minit 76 apabila Syed Sobri menghadirkan gol pembukaan menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti menceriakan 1,700 penonton yang hadir ke Stadium Muhammad IV, Kota Bharu.

Di minit-minit akhir perlawanan , pemain UiTM FC, Muhammad Farez Aiman Marzuki cuba menyamakan kedudukan namun bola ditampan kemas penjaga gol tuan rumah.

Keputusan 1-0 kekal hingga wisel penamat ditiup.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 8:16 PM