PEMAIN Kelantan United FC, Asraff (kanan) diasak oleh Pemain Perak FC, Nasrol Amri Kamarul Azhar (kiri). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PEMAIN Kelantan United FC, Asraff (kanan) diasak oleh Pemain Perak FC, Nasrol Amri Kamarul Azhar (kiri). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kelantan United Football Club (KUFC) dan Perak FC terus kempunan mengutip tiga mata apabila gagal menjaringkan sebarang gol dalam saingan Liga Super, petang tadi.

Kedua pasukan terikat 0-0 meskipun masing-masing hadir dengan semangat mahu mengutip mata penuh pertama sepanjang liga berlangsung.

Tidak banyak persembahan menarik dipamerkan pada babak pertama meskipun kijang hijau dilihat lebih banyak membuat serangan.

Awal minit ke 4, Abdul Latiff Suhaimi nyaris menanduk bola ke gawang sendiri.

Perak juga hampir menjaringkan gol pertama, namun kapten The Bos Gaurus (TBG), Hafizal Muhamad mensia-siakan sepakan percuma apabila terus didakap kemas penjaga gol KUFC, Ahmad Asyraaf Omar.

Lagenda Kelantan, Indra Putra Mahayuddin membuat sepakan half-volley minit ke 32 namun melepasi gawang pelawat.

Tamat masa pertama, kedua pasukan terikat 0-0.

Masuk babak kedua, Perak mengeluarkan importz Christian Obiozor dan memasukkan Muhammad Fahmi Daniel namun kedua pasukan masih gagal menghasilkan gol.

Minit ke 51, tendangan Import KUFC, Devid De Santana Silva ditepis Keat See.

Keat See sekali lagi menjadi penyelamat Perak apabila menangkap kemas percubaan kedua Devid De Silva yang cuba menanduk masuk bola ke gawang anak buah Teong Kim Lim.

Di hujung perlawanan, Royizzat Daud nyaris menceriakan kem tuan rumah namun sepakan sedikit tersasar ke kanan gawang Perak FC.

Keputusan berkesudahan 0-0 hingga tamat wisel menyaksikan kedua pasukan membawa balik satu mata di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 10:04 PM