FANDI dilantik sebagai ketua jurulatih Sri Pahang, musim ini. FOTO SRI PAHANG FC
FANDI dilantik sebagai ketua jurulatih Sri Pahang, musim ini. FOTO SRI PAHANG FC
Asrol Awang


Kuantan: Fandi Ahmad sah dilantik selaku ketua jurulatih Sri Pahang FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sumber Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) berkata, Fandi yang juga bekas pemain Pahang akan membimbing skuad Tok Gajah dan pengalaman dimiliki Fandi diharap membantu meningkatkan prestasi pasukan untuk mencatat keputusan lebih baik.

"Selain itu, kemasukan beberapa pemain baharu termasuk import diyakini mampu membentuk skuad yang mantap," kata sumber itu.

Sementara itu, pengesahan bekas pemain Singapura itu dilantik selaku ketua jurulatih itu dimaklumkan menerusi Facebook rasmi Sri Pahang FC.

Ia berdasarkan keterangan pada laman Facebook Sri Pahang yang merujuk kepada sesi latihan pagi skuad Sri Pahang bimbingan ketua jurulatih, Fandi di padang Taman Gelora, di sini.

Musim lalu, Fandi dilantik sebagai Penasihat Teknikal kelab pada pertengahan liga, namun pengalaman dimiliki Fandi menyaksikan SPFC memutuskan khidmatnya ditagih selaku ketua jurulatih skuad Tok Gajah musim ini.

Sebelum ini, Datuk Dollah Salleh mengambil alih jawatan ketua jurulatih pada pertengahan musim bagi menggantikan jurulatih dari Perancis, Christophe Gamel selepas prestasi tidak konsisten yang menyebabkan Sri Pahang antara pasukan berada pada kedudukan tercorot Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 1:20 PM