SENTUHAN Gamel bersama Sri Pahang tidak menjadi. - FOTO ASROL AWANG
SENTUHAN Gamel bersama Sri Pahang tidak menjadi. - FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Jodoh jurulatih berasal dari Perancis, Christophe Gamel bersama Sri Pahang FC tidak panjang apabila tidak lagi memegang jawatan ketua jurulatih skuad itu.

Sumber dalaman pasukan itu memaklumkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

"Atas persetujuan bersama, Gamel tidak meneruskan baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dan tugasannya selaku ketua jurulatih sudah berakhir.

"Bagaimanapun, setakat ini, pengesahan rasmi akan diumumkan kelab dalam tempoh terdekat," kata sumber itu.

Difahamkan, keputusan itu susulan prestasi hambar yang dipersembahkan Sri Pahang hingga terperosok di kedudukan kedua tercorot Liga Super.

Pada masa sama, keputusan tiga perlawanan terakhir menyaksikan skuad Tok Gajah tewas berturut-turut kepada Terengganu FC (TFC) 1-2, Negeri Sembilan (0-3) dan Sabah (1-2) turut mempengaruhi keputusan itu.

Susulan keputusan itu, sumber berkata, pengurus pasukan, Dollah Salleh akan memangku tugas ketua jurulatih buat sementara.

Ia sebagai persediaan skuad Tok Gajah berdepan Penang FC pada aksi suku akhir Piala FA, 23 Julai ini.

Ini kerana Sri Pahang FC dikatakan sedang berusaha mendapatkan khidmat ketua jurulatih baharu bagi menggantikan Gamel.

Difahamkan, kelab itu sedang berurusan dengan seorang jurulatih dari negara jiran, Singapura.

Namun, sumber itu memaklumkan bahawa segalanya masih dalam perancangan. Fokus utama kelab itu ialah untuk memastikan Sri Pahang kembali pada prestasi terbaik, sekali gus memperbaiki kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super.

Difahamkan, antara nama yang dikaitkan menggantikan Gamel ialah Fandi Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 4:47 PM