DE PAULA (kiri) dikritik penyokong Harimau Malaya ketika kempen kelayakan Piala Asia 2023, baru-baru ini. FOTO ARKIB NSTP
DE PAULA (kiri) dikritik penyokong Harimau Malaya ketika kempen kelayakan Piala Asia 2023, baru-baru ini. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Perancangan bijak untuk kelab, namun suatu kerugian buat negara.

Itu kesimpulan dapat dibuat selepas pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan pihaknya sanggup 'menyimpan' dua tonggak naturalisasi negara daripada membiarkannya menjadi tonggak utama pesaing lain.

Menerusi sesi temu bual Tunku Ismail bersama penyokong bola sepak tempatan di Johor malam tadi, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu mengakui beliau mengambil Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi kerana mahu mengelak kelab lain mengambil peluang memiliki lebih ramai dari luar negara.

Katanya, beliau sanggup mengambil risiko itu meskipun menyedari peluang untuk pemain berkenaan beraksi adalah tipis sambil tidak kisah jika hanya memanaskan bangku simpanan.

"Saya rekrut mereka kerana takut ada kelab lain mempunyai ekstra pemain import, kemudian saya suruh dia duduk diam-diam," katanya kepada penyokong bola sepak JDT.

Sebelum De Paula dan Liridon menyertai JDT pada 2021 dan 2019, kedua-duanya menunjukkan prestasi cukup mantap dalam saingan Liga M bersama pasukan masing-masing hingga dilihat sebagai calon tonggak naturalisasi terbaik negara selepas Mohamadou Sumareh yang direkrut lebih awal pada 2018.

Malah, De Paula yang beraksi bersama Kuala Lumpur City FC dari 2017-2019 pernah muncul antara peledak berbisa dengan mengumpul 48 gol buat skuad The City Boys sepanjang tempoh berkenaan.

Liridon cukup menyerlah dari 2015-2019 ketika menyarung jersi Kedah dengan dilabel arkitek terbaik liga domestik.

Bagaimanapun, sentuhan kedua-dua pemain itu makin pudar selepas berhijrah ke JDT apabila mereka gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Akhirnya mereka sering menjadi bahan kritikan dan kecaman penyokong setiap kali dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya yang gagal menyerlah akibat kekurangan minit permainan bersama kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 4:32 PM