LIRIDON menyinar bersama Odisha FC di India. FOTO Odisha FC
LIRIDON menyinar bersama Odisha FC di India. FOTO Odisha FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketika khidmat penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula disisihkan daripada senarai 30 pelatih Harimau Malaya yang diumumkan semalam, nasib berbeza buat dua lagi tonggak naturalisasi apabila sentuhan Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi masih lagi ditagih.

Menerusi pengumuman dibuat pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Sumareh dan Liridon diberi peluang kembali menguatkan pasukan negara selepas kali terakhir menyarung jersi kebangsaan pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun tahun lalu.

Paling teruja dengan pemilihan itu sudah tentunya Liridon yang kini beraksi bersama kelab Liga India, Odisha FC secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT).

Dia yang muncul pemain naturalisasi kedua negara selepas Sumareh sememangnya layak dipanggil berdasarkan aksi mantapnya sepanjang bersama Odisha musim ini.

Malah, tonggak tengah kelahiran Kosovo itu diiktiraf sebagai 'Raja Gelecek' di Liga Super India (ISL) dengan statistik yang dikongsikan ISL itu pada 24 Februari lalu menyaksikan dia mencatatkan 91.67 peratus kejayaan mengatasi lawan hasil kemahiran individu dimilikinya.

Lantas, dia dianggap jeneral paling berpengaruh dalam saingan liga di negara itu dengan sudah melakukan 16 penampilan secara keseluruhan buat Odisha sepanjang musim ini.

Jelas Liridon di laman sosial miliknya, dia teruja apabila namanya kembali disenaraikan selepas tidak bersama skuad Harimau Malaya di Piala AFF di Singapura, Disember tahun lalu.

"Sentiasa berbangga untuk mewakili negara saya," katanya yang dijangka mengemudi bahagian tengah skuad negara di bawah kendalian Pan-gon yang dilantik bagi menggantikan Tan Cheng Hoe bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 10:52 PM