MORALES (kanan) dikatakan akan menyertai JDT pada musim depan. FOTO ARKIB NSTP
MORALES (kanan) dikatakan akan menyertai JDT pada musim depan. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya boleh dikatakan sudah selangkah untuk menyenaraikan Romel Morales sebagai tonggak baharu naturalisasi negara seawal tahun depan.

Menurut sumber boleh dipercayai, penyerang kelahiran Colombia yang beraksi bersama Kuala Lumpur City (KL City) FC itu bakal berhijrah ke pasukan baharu dengan juara 10 kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dijangka destinasi buat Morales.

Difahamkan, JDT sedang berusaha mendaftarkan penyerang berusia 26 tahun itu sebagai pemain terbaharu skuad Harimau Selatan musim depan, sekali gus boleh menyarung jersi Malaysia termasuk di Piala Asia di Qatar, Januari ini.

Menurut sumber itu, KL City sebelum ini sedia memulakan proses pendaftarannya sebagai pemain naturalisasi pada pertengahan tahun ini, namun tawaran lanjutan kontrak ditolak oleh Morales.

"Kalau ikutkan dia (Morales) sudah boleh bergelar pemain naturalisasi selepas KL City nak mulakan proses pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pertengahan tahun ini.

"Tapi biasalah, KL City mesti datang dengan tawaran untuk dia kekal, tapi dia menolak. Jadi sudah pasti kelab baharu yang akan meneruskan proses pendaftaran itu dan JDT dilihat destinasi Morales," kata sumber.

Bagi menguatkan spekulasi itu, pemilik JDT iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri memuatnaik gambar bersama ketua agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen Malaysia, baru-baru ini, yang turut disertai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, beberapa hari lalu.

Morales yang berasal dari Colombia sudah beraksi lebih daripada lima tahun di Liga Malaysia (Liga M) dan boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan, sekali gus mengikut jejak Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Lee Tuck, Sergio Aguero, Endrick dos Santo dan Paulo Josue.

Morales mula beraksi di Liga M pada musim 2018 bersama PKNS FC selama dua musim, sebelum berhijrah ke Melaka United pada 2020 dan kemudian menyertai skuad The City Boys pada 2021 sehingga kini.

Bersama KL City, dia memainkan peranan besar apabila membantu kelab itu muncul juara Piala Malaysia pada musim pertamanya dengan menundukkan JDT di final, sebelum memacu pasukan ke final Piala AFC pada musim lalu, namun terpaksa tunduk di tangan kelab Oman, Al Seeb.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 7:08 PM