PEMAIN KL City FC Kevin Koubemba (tengah) dihalang tonggak tengah PSM Makassar, Muhammad Rizky Pramata pada saingan Piala AFC semalam. FOTO Bernama
PEMAIN KL City FC Kevin Koubemba (tengah) dihalang tonggak tengah PSM Makassar, Muhammad Rizky Pramata pada saingan Piala AFC semalam. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Deretan peluang terhidang nyata mengecewakan pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak yang percaya seandainya ia dimanfaatkan pasukannya mampu keluar selaku pemenang.

Begitupun, keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi pertama Kumpulan H menentang kelab Indonesia, PSM Makassar tetap memuaskan hati Hodak.

Jelas bekas jurulatih skuad bawah 19 (B-19) tahun negara itu, beliau menganggap benteng pertahanan KL City sudah menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya namun sedikit mengecewakan buat jentera serangan.

"Sudah tentu saya kecewa apabila pasukan gagal untuk memenangi perlawanan ini. Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pemain-pemain terutama di bahagian serangan kerana berjaya mengakhiri perlawanan ini tanpa dibolosi lawan.

"Malah mereka juga bermain dengan cara yang saya mahukan sama seperti yang dilakukan ketika perlawanan Piala Malaysia sebelum ini, cuma agak kurang di bahagian serangan.

"Ini adalah masalah kami (bahagian serangan), kami mencipta beberapa peluang namun masih gagal untuk mendapatkan gol pada perlawanan ini.

"Sebab itulah, anda lihat kenapa kami membawa seorang lagi penyerang (Jordan Mintah) pada jendela perpindahan kali ini. Kami mahu memperkuatkan lagi jentera serangan pasukan ini," katanya sejurus tamat aksi d Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam tadi.

Dalam aksi itu, kedua-dua pasukan gagal meraih sebarang jaringan meskipun skuad The City Boys memiliki dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

Tiang dan palang menjadi penghalang buat tuan rumah untuk memecah kebuntuan menerusi percubaan Romel Morales di minit ke-58 yang terkena tiang gol.

Ia disusuli tandukan Irfan Zakaria sembilan minit kemudian yang sekadar singgah di palang gol lawan ketika penjaga gol PSM Makassar sudah pun tertewas.

Menurut Hodak lagi, beliau optimis anak buahnya tetap mampu melangkah ke pusingan berikutnya dengan menjadikan wakil Singapura, Tampines Rovers mangsa kebangkitan.

"Walaupun ia bukan satu tugas mudah menentang Tampines, namun saya percaya pasukan akan bangkit untuk mengutip tiga mata penuh pada perlawanan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 3:24 PM