ZHAFRI dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan. -FOTO NSTP
ZHAFRI dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City), Zhafri Yahya mahu membalas kepercayaan diberikan pengendali negara, Kim Pan-gon yang memanggilnya bagi menggantikan Darren Lok selepas disahkan positif Covid-19, sekaligus terpaksa digugurkan.

Zhafri, 27, yang pada awalnya diletakkan dalam senarai menunggu mengakui sentiasa positif dan tidak pernah putus asa menanti peluang menyertai kem negara.

"Sebenarnya saya pernah cakap saya memang ingin berada dalam skuad Harimau Malaya, jadi keberadaan saya dalam senarai menunggu itu saya masih berfikiran positif dan sentiasa sedia untuk dipanggil.

"Mungkin jurulatih melihat saya dapat ikut taktikal dan pelan beliau, jadi saya sangat bersyukurlah bila saya dah berada dalam 30 skuad Harimau Malaya," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Ujar tonggak tengah kelahiran Selangor itu lagi, dia memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan taktikal dan corak permainan diterapkan Pan-gon.

"Menjadi impian saya beraksi untuk Harimau Malaya sejak menyertai KL City (pada 2016). Apabila berada di bawah kendalian Bojan Hodak, beliau beri saya banyak ruang dan peluang untuk saya buktikan kemampuan, akhirnya saya berjaya membuktikannya kepada beliau dan pasukan.

"Selepas dua hari latihan, saya rasa cara kendalian latihan Pan-gon lebih kurang sama dengan Bojan.

"Pencapaian pertama ingin berada dalam skuad Harimau Malaya, kedua saya ingin sekurang-kurangnya dapatkan minit permainan," katanya yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu, di mana Zhafri sendiri meledak satu gol ketika KL City mengejutkan JDT 2-0 dalam aksi final itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 2:09 PM