PEMAIN tengah Jerman, Ilkay Gundogan (tengah) berlatih bersama Antonio Ruediger (kiri) dan penyerang, Timo Werner menjelang perlawanan menentang Itali. - FOTO AFP
PEMAIN tengah Jerman, Ilkay Gundogan (tengah) berlatih bersama Antonio Ruediger (kiri) dan penyerang, Timo Werner menjelang perlawanan menentang Itali. - FOTO AFP
AFP

Berlin: Jurulatih Jerman, Hansi Flick dijangka menurunkan Serge Gnabry dan Antonio Ruediger apabila melayan juara Eropah, Itali pada perlawanan Liga Negara-Negara, esok.

Kedua-duanya tidak beraksi ketika seri dengan Hungary di Budapest, Sabtu lalu, berikutan Gnabry mengalami kesakitan betis manakala Ruediger direhatkan.

Ruediger yang melengkapkan perpindahan dari Chelsea ke Real Madrid pada awal bulan lalu, bakal mengisi posisi bek tengah manakala Gnabry, yang juga pemain sayap Bayern Munich menjadi pilihan di posisi itu.

Jerman seri 1-1 dalam semua empat perlawanan terakhir dengan Hungary, England, Itali dan Belanda, sejak Mac lalu.

Mereka masih memburu kemenangan pertama di peringkat kumpulan kempen Liga Negara-Negara.

Flick mengakui pasukan itu tidak gembira dengan keputusan kebelakangan ini, tetapi menegaskan dia banyak menggunakan pemain muda menjelang Piala Dunia Qatar 2022 pada November depan.

"Dari segi imej, saya tidak fikir empat keputusan seri itu bagus kerana saya dan pemain mahukan kemenangan," kata Flick pada sidang media di Budapest, hari ini.

"Kami mahu mendapatkan keputusan perlawanan. Kami memiliki enam pemain baharu dan dalam proses membangun.

"Sudah tentu, berlaku kejutan tetapi anda akan lebih baik di masa depan."

Jerman memulakan kempen Liga Negara-Negara dengan keputusan seri dengan Itali di Bologna, 10 hari lalu dan kini menduduki tangga ketiga Kumpulan A3, ketinggalan dua mata di belakang Itali yang mendahului kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 9:17 PM