GNABRY (kanan) meledak gol pembukaan buat Jerman ketika menumpaskan Iceland pagi tadi. FOTO AFP
GNABRY (kanan) meledak gol pembukaan buat Jerman ketika menumpaskan Iceland pagi tadi. FOTO AFP
AFP

Reykjavik: Serge Gnabry menjaringkan tiga gol dalam tempoh tiga hari untuk membantu Jerman menumpaskan Iceland 4-0 di Reykjavik bagi membolehkan mereka menduduki tangga teratas dalam kumpulan kelayakan Piala Dunia.

Jerman beraksi di depan 3,600 penyokong di Stadium Laugardalsvollur dengan gol pada separuh masa pertama disumbangkan Gnabry dan Antonio Ruediger sebelum Leroy Sane menambah jaringan ketiga.

Timo Werner menjaringkan gol keempat Jerman pada lewat permainan.

Gnabry juga meledak dua gol ketika mengalahkan Armenia 6-0 Isnin lalu di Stuttgart dan sekarang ini sudah mengumpul 19 gol daripada 29 aksi antarabangsa.

"Kami tidak melepaskan apa saja dengan sia-sia, kami berjaya menguasai perlawanan dan tabah dalam berdepan cabaran.

"Kami sangat berpuas hati. Corak kami sekarang sudah dibentuk. kami mahu meneruskan aksi seperti ini." kata ketua pasukan Jerman, Manuel Neuer.

Jerman sudah mencatat tiga kemenangan dalam aksi kelayakan sejak minggu lalu di bawah jurulatih baru, Hansi Flick.

Mereka meledak 12 gol tanpa bolos dan mengungguli dengan kelebihan empat mata dalam Kumpulan J.

"Mereka adalah pasukan yang berbeza berbanding aksi kalah mati di Euro. Bagaimanapun, ia adalah sangat penting untuk menunjukkan satu contoh yang berbeza sekali lagi," kata Neuer selepas kejayaan ke atas Liechtenstein, Armenia dan terbaru Iceland.

Flick hanya melakukan satu pertukaran berbanding ketika mereka membelasah Armenia sebelum ini dengan membariskan pemain Manchester City,

Ilkay Gundogan yang menggantikan Marco Reus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 8:21 AM