JURULATIH Jerman, Joachim Loew (kiri) bersama barisan pemainnya pada sesi latihan menjelang perlawanan menentang Perancis, Selasa ini. FOTO AFP.
JURULATIH Jerman, Joachim Loew (kiri) bersama barisan pemainnya pada sesi latihan menjelang perlawanan menentang Perancis, Selasa ini. FOTO AFP.
AFP

Herzogenaurach, Jerman: Pemain pertahanan Chelsea, Antonio Ruediger menegaskan Jerman perlu 'bermain kotor' dalam usaha menyekat penyerang berbisa skuad juara dunia, Perancis pada pertemuan kedua-dua pasukan di Euro 2020, Selasa ini.

Perancis akan bermula sebagai pasukan pilihan pada perlawanan Kumpulan F di Allianz Arena di Munich, manakala pertahanan Jerman berdepan ujian berat apabila dibolosi 20 kali daripada 13 perlawanan musim ini.

Masih segar dengan kejayaan menjulang Liga Juara-Juara Eropah bersama Chelsea, Ruediger menegaskan Jerman akan menderita sekiranya memberi banyak ruang kepada bintang penyerang Perancis seperti Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann.

"Sudah tentu, mereka memiliki barisan penyerang berbisa dan kami perlu bersedia untuk menang pertarungan satu lawan satu," kata Ruediger di pangkalan skuad Euro 2020 Jerman di Bavaria, hari ini.

"Kami perlu bermain sedikit kotor, tidak boleh terlalu baik atau cuba bermain bola sepak baik.

"Menentang pemain seperti mereka, anda perlu menjatuhkan dan menandakan sesuatu."

Dia bakal membuat penampilan ke 42 bersama Jerman dan dianggap pemain penting bagi ketua jurulatih, Joachim Loew yang melabelkannya sebagai pemain tengah dengan tahap tertinggi.

Ruediger menjangkakan Perancis antara pasukan pilihan memenangi Kejohanan Eropah kali ini dan menyatakan Jerman mesti menguasai perlawanan untuk menang.

Perancis memanaskan badan menjelang 2020 dengan dua kemenangan 3-0 ke atas Wales dan Bulgaria pada aksi persahabatan, manakala Jerman seri 1-1 dengan Denmark sebelum membelasah skuad kerdil Latvia, 7-1.

Ruediger, 28, dijangka bergandingan dengan pemenang Piala Dunia 2014 iaitu Mats Hummels dan Matthias Ginter untuk membentuk tiga pertahanan Jerman.

Bek tengah Chelsea itu akan memakai topeng untuk melindungi kecederaan muka dialami ketika Chelsea seri dengan Real Madrid pada perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah.

"Ia masih dipakai untuk melindungi muka," kata Ruediger mengenai topeng itu.

"Saya perlu mendapatkan pandangan doktor Chelsea apabila kembali ke London nanti."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 9:38 PM