PEMAIN Harimau Malaya rai kemenangan selepas tamat perlawanan. FOTO Bernama
PEMAIN Harimau Malaya rai kemenangan selepas tamat perlawanan. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya meraih tonik positif menjelang kempen Kelayakan Piala Asia 2023 bulan depan apabila menewaskan Brunei 4-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak menggambarkan kekuatan sebenar pasukan negara yang dilihat masih banyak kelonggaran perlu diperkemaskan sebelum turun beraksi di pusingan kelayakan itu nanti.

Apapun kejayaan di halaman sendiri itu sedikit sebanyak mengubati kerinduan penyokong tempatan yang sudah hampir 920 hari tidak dapat menyaksikan skuad Harimau Malaya beraksi di kandang sendiri, dengan kali terakhir bermain di Bukit Jalil pada November 2019 menentang Indonesia yang dimenangi tuan rumah dengan 2-0.

Dalam aksi itu, pengendali negara Kim Pan-gon menunaikan janjinya apabila memberi peluang buat pemain yang jarang beraksi serta tonggak baharu dengan tonggak Petaling Jaya City (PJ City), V Ruventhiran meraih cap pertamanya di peringkat antarabangsa.

Malaysia nyata menguasai aksi sejak wisel ditiupkan dengan sekurang-kurangnya tiga percubaan berbahaya ke arah kubu Brunei namun semuanya tersasar.

Selepas mencuba beberapa kali, akhirnya Syafiq Ahmad menemui gawang lawan apabila mudah menanduk masuk sepakan sudut yang diambil Ruventhiran untuk meletakkan tuan rumah mendahului minit ke-15.

Syamer Kutty Abba hampir mencetak nama selaku penjaring di minit 24 tetapi rembatan dari luar kotak penalti itu sedikit tersasar sekaligus melegakan penjaga gol pelawat, Muhammad Haimie Abdullah Nyaring.

Begitupun pada minit ke-45, Syamer lebih tenang menyempurnakan peluang apabila dia mudah menewaskan Haimie selepas menerima hantaran Faisal Halim di dalam kotak penalti.

Bersambung babak kedua, Pan-gon membuat lima pertukaran serentak termasuk memberi peluang kepada penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula.

Kemasukan tenaga baru nyata menambah sengat di jentera depan dan hasilnya Faisal meledak dengan gol ketiga di minit 57 selepas menerima hantaran belakang De Paula.

Pada minit 83, tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti selepas Akhyar Rashid dijatuhkan dalam kotak penalti dan De Paula tidak mensia-siakan peluang itu dengan meledak gol keempat buat skuad negara.

Malaysia akan bertemu Hong Kong dalam aksi persahabatan kedua di Bukit Jalil Rabu ini sebelum memulakan saingan sebenar di Kelayakan Piala Asia dengan Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh menanti dalam Kumpulan E itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 11:28 PM