SAFAWI meledak gol sulung negara seawal minit ke-11. FOTO AIZUDDIN SAAD
SAFAWI meledak gol sulung negara seawal minit ke-11. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dengan nota kemenangan apabila mudah menundukkan Turkmenistan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Anak buah Kim Pan-gon yang diletakkan dalam Kumpulan E nyata cukup 'bernafsu' sepanjang 90 minit aksi yang turut mendapatkan sokongan padu hampir 21,591 penyokong termasuk Ultras Malaya.

Kedudukan ranking Turkmenistan yang lebih tinggi di tangga 134 berbanding Malaysia di posisi 154 seolah tidak menggambarkan kelemahan tuan rumah yang memperagakan aksi cukup bertenaga.

Pasukan negara yang kali terakhir layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 berjaya mendahului seawal minit ke-11 menerusi Safawi Rasid yang memanfaatkan hantaran Arif Aiman Hanapi.

Gol itu nyata menyemarakkan semangat pemain yang berjaya menambah gol kedua lima kemudian hasil jaringan Faisal Halim.

Jaringan kedua itu berpunca daripada kesungguhan Darren Lok yang memaksa pertahanan lawan melakukan kesilapan di depan kotak penalti sebelum tenang di manfaatkan Faisal untuk menewaskan Orazmuhamedov di pintu gol.

Begitupun gawang negara bocor di minit 38 selepas Dion Cools tertanduk kebelakang yang gagal dikeluarkan Farizal Marlias dan ia mudah disudahkan Annadurdyyev Altymyrat untuk merapatkan kedudukan 2-1.

Menuju ke bilik persalinan, penyokong kembali bersorak apabila tonggak pertahanan Corbin Ong melakukan larian solo dari bawah sehingga ke kotak penalti pelawat sebelum dia melepaskan rembatan untuk gol ketiga yang juga jaringan keduanya di peringkat antarabangsa.

Rentak pasukan negara di babak kedua bagaimanapun sedikit perlahan dengan skuad kendalian Hojageldiyev Yazguly memiliki beberapa peluang keemasan namun semuanya gagal menewaskan Farizal.

Pan-gon membawa masuk beberapa pemain termasuk Guilherme de Paula, Safiq Rahim, Syafiq Ahmad, Putra Nadir dan Mohamadou Sumareh tetapi gagal menambah jaringan hingga tamat aksi.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi yang berlangsung di sebelah petang menyaksikan Bahrain menang 2-0 menewaskan Bangladesh.

Malaysia kini berkongsi tiga mata dengan Bahrain namun berada di tangga pertama hasil kelebihan jaringan.

Selepas ini, skuad Harimau Malaya akan bertemu Bahrain dalam aksi kedua di venue sama Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 11:05 PM