PENYERANG import Sri Pahang FC, Za'tara. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
PENYERANG import Sri Pahang FC, Za'tara. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Penyerang import dari Jordan, Mahmoud Za'tara sah menyarung jersi skuad Sri Pahang FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengesahan itu diumumkan menerusi akaun rasmi Facebook Sri Pahang FC hari ini, bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyerang import dari Australia, Kenny Athiu musim lalu.

Berdasarkan pengalaman Za'tara, penyerang itu membantu Al-Wehdat muncul naib juara Liga Jordan serta Piala Super Jordan 2021.

Pemain berusia 30 tahun itu dikagumi kerana kelicikan dan sentuhan klinikalnya di depan gawang.

Za'tara juga pernah menyarung jersi beberapa kelab di negara Timur Tengah seperti Oman, Qatar, Kuwait, dan Bahrain selain berpengalaman beraksi di saingan Piala AFC dan kelayakan Liga Juara Asia.

Kali pertama berhijrah ke Asia Tenggara, Za'tara yang turut mempunyai kap bersama skuad kebangsaan Jordan sudah bersedia mempertaruhkan pengalaman luasnya untuk menggegar bersama Sri Pahang.

Dengan pengumuman itu, Sri Pahang kini memiliki dua pemain import, termasuk bekas pemain pasukan remaja kebangsaan Perancis, Johan Martial.

Martial yang juga pemain pertahanan tengah berketinggian 1.84 meter mengisi kekosongan ditinggalkan rakan senegara, Herold Goulon.

Sementara itu, pertahanan berdarah kacukan Malaysia-England, Nick Swirad kekal bersama Sri Pahang bagi musim 2022.

Pemain yang turut boleh beraksi sebagai pertahanan tengah menyertai Sri Pahang pada jendela perpindahan kedua musim lalu selepas membantu Nongbua Pitchaya menjuarai Liga 2 Thailand.

Ketenangan, pengalaman dan aksi pemain berusia 31 tahun itu menyaksikannya terus mendapat kepercayaan barisan kejurulatihan untuk membentuk gandingan mantap bersama Martial di bahagian pertahanan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 5:32 PM