Ronald Ngah Wanja bakal menjadi tumpuan penyokong Kedah dalam usaha skuad Sang Kenari menentang NSFC di Stadium Darul Aman malam esok. -FOTO Ihsan KDA FC
Ronald Ngah Wanja bakal menjadi tumpuan penyokong Kedah dalam usaha skuad Sang Kenari menentang NSFC di Stadium Darul Aman malam esok. -FOTO Ihsan KDA FC
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mahu memastikan bentengnya tidak lagi rapuh dalam usaha kembali bangkit memburu tiga mata apabila melayan kunjungan skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman malam esok.

Hanya kebangkitan segera di laman sendiri kali ini mampu menjadi 'penyembuh' duka di kala skuad Sang Kenari yang sudah tiga kali keciciran mata penuh dalam aksi yang dijangkakan mampu menjadi milik mereka sebelum ini.

Pengendali KDA FC Aidil Sharin Sahak berkata, skuadnya tidak rela lagi terlepas peluang dalam usaha mendapatkan mata kemenangan yang menjadi mata sangat penting bagi memastikan Kedah tidak terus turun ke kedudukan lebih bawah.

"Persiapan yang kami lakukan kini berada dalam keadaan yang terbaik di mana kami sedang menumpukan usaha bagi memastikan Kedah dapat kembali bangkit melalui kemenangan di laman sendiri.

"Tiada pilihan lain lagi buat kami selain perlu mempersiapkan benteng yang lebih kukuh dan tidak mudah bolos bagi memastikan kami tidak lagi keciciran mata kali ini.

"Kesilapan lalu menjadi pengajaran yang sangat berguna buat kami untuk tidak diulangi dalam usaha kembali bangkit ke tahap terbaik seperti yang diharapkan oleh semua pihak," katanya.

Aidil juga berkata, Kedah tetap perlu berhati-hati kerana beliau melihat skuad NSFC kini berada dalam peningkatan yang ketara di mana mereka sedang memberi saingan terbaik dalam kelompok pasukan teratas liga.

"Sudah pasti kami tidak akan melalui satu perlawanan yang mudah dengan Negeri Sembilan sedang berada pada tahap keyakinan yang baik dalam memberi saingan pada ketika ini.

"Oleh itu, kami perlu gandakan lagi usaha kami bagi memastikan tidak terlepas peluang dan keciciran mata lagi walaupun berkelebihan beraksi di laman sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 1:12 PM