Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak (kanan) mengendalikan sesi latihan pasukannya. FOTO KDA FC.
Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak (kanan) mengendalikan sesi latihan pasukannya. FOTO KDA FC.
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak mahu semua pemainnya segera bangkit dari kekalahan perlawanan lalu dan membuktikan keupayaan seterusnya apabila skuad Hijau Kuning bertandang ke Stadium Likas menentang Sabah FC malam esok.

Menurut pengendali kelahiran Singapura berusia 43 tahun itu, tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) 0-1 Selasa lalu harus segera dilupakan dan bangkit semula memburu kemenangan pada perlawanan menentang skuad Badak kali ini.

"Misi penting adalah untuk memastikan Kedah tidak lagi keciciran mata.

"Keputusan pada perlawanan lalu sudah berlalu dan menjadi sejarah. Kami harus bangkit dengan semangat lebih kuat untuk memulakan aksi bagi memburu mata penuh.

"Saya yakin pemain menanam keazaman tinggi pada perlawanan bertemu Sabah FC kali ini dan saya juga melihat kerja keras dan kesungguhan yang mereka lakukan dalam latihan," katanya.

Aidil Sharin bagaimanapun mahu pemainnya tetap berwaspada dengan kebangkitan skuad Sabah yang berjaya memungut mata penuh dalam dua perlawanan di laman sendiri sebelum ini.

"Walaupun dengan rekod sebelum ini kita dapat menewaskan Sabah pada Mac lalu, namun kita perlu lebih berwaspada dan berhati-hati dengan kebangkitan terbaharu mereka di laman sendiri selepas mereka mendapat kemenangan ke atas Perak dan Melaka malah ini sudah tentu memberi lonjakan semangat buat mereka.

"Pemain harus bersedia menerima aksi sukar dan tentangan sengit dari pemain Sabah yang kini semakin bermotivasi dan mahu memburu rekod kemenangan seterusnya di laman sendiri." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 5:29 PM