KHIDMAT Akmal Zahir (kiri) ditagih Kedah.
KHIDMAT Akmal Zahir (kiri) ditagih Kedah.
Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memerlukan kebangkitan segera apabila berdepan Sri Pahang FC (SPFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur Isnin ini.

Di tangga kelima selepas 12 perlawanan, Sang Kenari tidak lagi boleh tercicir mata bagi mengelak dipintas Selangor FC, Melaka United dan Terengganu FC yang hanya berbeza satu mata.

Kedah juga memerlukan kemenangan sebagai suntikan semangat untuk dibawa ke saingan separuh akhir Zon Asean Piala AFC bertemu PSM Makassar di Bali pada 9 Ogos nanti.

Pengendali KDA FC Aidil Sharin Sahak berkata: "Kami akan memberi fokus sepenuhnya untuk aksi yang dijangka sengit di Kuantan malam esok terlebih dahulu bagi mengutip motivasi sebelum melakukan persiapan penuh untuk ke Bali selepas ini.

"Jadi kami perlu bangkit dengan segera untuk mendapatkan bekalan semangat dan pada masa yang sama kami tidak mahu keciran mata lagi bagi memastikan kedudukan kami dalam kelompok lima pasukan teratas tidak tergugat.

"Kemenangan yang dicari mampu mengukuh dan meningkatkan semula semangat semua pemain yang terjejas selepas kekalahan 2-1 kepada KL City pada 27 Julai lalu.

"Dalam aksi kali ini, saya berharap beberapa pemain antaranya pemain pertahanan Akmal Zahir dan pemain sayap Al-Hafiz Harun dapat kembali beraksi selepas tidak bersama pasukan ketika perlawanan menentang KL City yang lalu.

"Tidak mudah buat KDA FC jika turun dengan skuad yang serba kekurangan kerana kita tahu Sri Pahang kini sudah bangkit dengan kemenangan di laman sendiri selepas menewaskan Selangor FC dan semakin meningkatkan prestasi di bawah kendalian jurulatih interim Dollah Salleh dan Penasihat Teknikal Fandi Ahmad.

"Kami perlu memastikan pasukan lebih lengkap dari sebelumnya dan lebih bersedia untuk berdepan Sri Pahang yang juga di tempat lawan kali ini," kata Aidil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 6:17 PM