MALONEY (kiri) ketika melawat Azam Azmi di hospital. FOTO FAM
MALONEY (kiri) ketika melawat Azam Azmi di hospital. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kecederaan yang dialami pemain pertahanan negara, Azam Azmi Murad jelas membimbangkan kem skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara apabila dia terus dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan susulan.

Azam Azmi yang juga tonggak Terengganu FC, berlanggar dengan pemain Thailand, Jaturapat Sattham pada aksi kumpulan B di Stadium Thien Truong semalam yang menyaksikan Malaysia berjaya menewaskan pemenang pingat emas 16 kali itu dengan keputusan 2-1.

Pelanggaran itu menyebabkan pemain berusia 21 tahun terbabit mengalami kecederaan pada minit ke-62 dan terus dikejarkan ke hospital bagi membolehkannya menerima rawatan lanjut.

Melihat situasi membimbangkan itu, pengendali skuad B-23 negara, Brad Maloney bergegas ke hospital daerah Nam Dinh bagi melihat keadaan pemainnya sebaik perlawanan menentang Thailand berakhir.

Namun, difahamkan keadaan pemain terbabit sudah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan susulan.

"Maloney terus ke Hospital Province Nam Dinh, Vietnam selepas tamat sidang media bagi melihat keadaan pemain.

"Azam mengalami kecederaan di kepala akibat terhantuk dengan pemain Thailand, bagaimanapun pun dibenarkan keluar hospital," kata pegawai pengiring skuad B-23 negara.

Terdahulu, pasukan negara bangkit daripada ketinggalan untuk mengejutkan gergasi Asia Tenggara itu apabila melakar kemenangan 2-1.

Terima kasih kepada dua penyerang muda negara, Ahmad Danial Asri dan Nur Azfar Fikri yang tidak henti-henti menekan kubu Thailand khususnya di babak kedua yang berlangsung Stadium Thien Truong itu.

Setidak-tidaknya kemenangan itu memberi permulaan yang baik untuk skuad negara yang kali terakhir memenangi pingat emas acara bola sepak pada 2011 di Jakarta, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 5:44 PM