BRAD Maloney. -FOTO NSTP
BRAD Maloney. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara Brad Maloney lega dengan perkembangan positif dipamerkan anak buahnya selepas mengharungi dua perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Maloney berkata, walaupun terdapat beberapa pemain tidak dapat menyertai kem latihan sejak daripada awal lagi namun mereka mampu membentuk keserasian yang baik bersama rakan sepasukan.

Beliau berkata, ketika ini barisan kejurulatihan dalam usaha mengenalpasti kelemahan yang ada untuk diperbaiki segera sebelum sepak mula saingan bola sepak Sukan Sea Hanoi di Vietnam Ahad ini.

"Pada saya, keputusan pada perlawanan persahabatan baru-baru ini adalah nombor dua kerana kami mahu melihat perkara lebih penting iaitu keserasian antara pemain.

"Ada pemain menyertai kem latihan agak lewat kerana mempunyai komitmen bersama kelab masing-masing namun prestasi dan keupayaan mereka dalam keadaan baik," katanya.

Dua perlawanan persahabatan membabitkan skuad B-23 negara baru-baru ini berakhir dengan tewas 1-2 kepada Timor Leste B-23 pada 29 April sebelum mencatatkan kemenangan 2-0 menentang Filipina B-23 Ahad lalu.

Mengikut rekod, Malaysia yang juga juara enam kali diundi di dalam Kumpulan B dijadualkan berlepas ke Hanoi Rabu ini untuk menyertai temasya sukan serantau itu.

Malaysia akan berhadapan juara 16 kali Thailand pada 7 Mei sebelum bertemu Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong, Nam Dinh. Hanya dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir. Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan Sea pada edisi 2011 di Indonesia sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2022 @ 2:23 PM