PEMAIN pertahanan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Muhammad Azam Azmi Murad. FOTO ARKIB NSTP
PEMAIN pertahanan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Muhammad Azam Azmi Murad. FOTO ARKIB NSTP
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain pertahanan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Muhammad Azam Azmi Murad mengakui tidak sabar untuk berdepan Vietnam pada aksi separuh akhir Sukan Sea Hanoi di Stadium Thien Truong di Nam Dinh, esok.

Pemain Terengganu FC (TFC) berusia 21 tahun itu berkata, walaupun laluan getir untuk menumpaskan tuan rumah, dia yakin dengan kemampuan rakan sepasukannya yang berjaya memperagakan aksi terbaik dalam Kumpulan B.

Pertahanan kanan yang terlepas peluang beraksi menentang Laos tempoh hari kerana mengalami kecederaan ketika bertemu Thailand pada aksi pertama turut percaya dengan strategi jurulatihnya, Brad Maloney yang pasti sudah dapat membaca corak permainan skuad tuan rumah.

"Di atas kertas, kelebihan pasti berpihak kepada Vietnam selaku tuan rumah, tapi saya percaya dengan kemampuan rakan sepasukan yang beraksi dengan baik dalam peringkat kumpulan sehingga muncul naib juara dengan mengetepikan Singapura, Laos dan Kemboja.

"Tambahan pula Maloney sudah pasti mempunyai perancangan tersendiri buat kami bagi memastikan misi menundukkan juara bertahan itu berhasil.

"Lagipun secara peribadi, saya bagaikan tidak sabar lagi untuk turun beraksi walaupun bakal berdepan tentangan sengit daripada skuad lawan yang mendapat sokongan penyokong setia mereka," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.

Ketika ditanya apa yang perlu dilakukan rakan sepasukannya bagi memastikan impian ke pentas final Sukan Sea edisi ke-31 ini tercapai, Azam mengharapkan semua pemain beraksi sebagai satu pasukan selain berupaya memainkan peranan masing-masing.

"Saya dan rakan sepasukan tekad untuk menyekat lawan daripada bergerak bebas terutama dalam kawasan penalti selain meletakkan harapan tinggi agar jentera depan mampu meledak gol bagi menyuntik motivasi kami.

"Doa dan sokongan padu peminat setia skuad kebangsaan ditagih pada aksi penting itu kerana sasaran kami adalah mara ke final untuk memburu pingat emas, lagipun kami hanya selangkah lagi untuk ke final," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 4:59 PM