PEMAIN Juve kecewa selepas mereka tumpas kepada Genoa. FOTO EPA
PEMAIN Juve kecewa selepas mereka tumpas kepada Genoa. FOTO EPA
Reuters

Milan: Peluang tipis Juventus untuk memenangi kejuaraan Serie A berakhir selepas penalti Domenico Criscito pada masa kecederaan membolehkan Genoa yang berdepan penyingkiran menumpaskan pasukan bimbingan Massimiliano Allegri 2-1.

Juventus, yang sudah layak ke Liga Juara-Juara musim depan, kekal di tangga keempat dengan 69 mata dan dengan baki dua perlawanan lagi, mereka tidak lagi boleh memintas Inter Milan (78) di tangga teratas.

Ia adalah kekalahan kedua Juventus dalam 22 perlawanan terakhir mereka.

Juve hampir tidak mengancam gawang Genoa pada separuh masa pertama, hanya melakukan satu percubaan tepat ke sasaran dalam masa 45 minit.

"Kekalahan yang membuatkan kami perlu minta maaf. Ada ketika Genoa menghadapi masalah, tetapi kami tidak dapat mengawal permainan. Dan kemudian, apabila anda melakukan serangan balas, anda perlu menamatkan gerakan dan jika pasukan lawan tidak mempunyai peluang lagi, anda perlu terus menekannya," kata Allegri.

Paulo Dybala mempunyai peluang terbaik sebelum rehat namun rembatannya berjaya diselamatkan penjaga gol, Salvatore Sirigu.

Pemain antarabangsa Argentina itu akhirnya berjaya menemui sasaran selepas tiga minit aksi separuh masa kedua bersambung apabila melepaskan rembatan rendah ke sebelah kanan gawang lawan.

Dybala berjaya menyamai rekod bekas penyerang, Roberto Baggio selepas kedua-duanya mengumpul 115 gol buat Juve.

Bagaimanapun, pemain sayap Albert Gudmundsson menghidupkan peluang Genoa untuk kekal di liga berkenaan apabila menyudahkan hantaran Nadiem Amiri tiga minit sebelum masa sebenar berakhir.

Sembilan minit kemudian pemain pertahanan, Criscito menyudahkan sepakan penalti menumpaskan penjaga gol, Wojciech Szczesny.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 12:26 PM