PIQUE alami kecederaan paha.
PIQUE alami kecederaan paha.
Agensi

Barcelona: Selepas meraih kemenangan dramatik ke atas Levante kelmarin, FC Barcelona kembali memberi tumpuan kepada aksi menentang Eintracht Frankfurt di Camp Nou dalam saingan Liga Europa, Khamis ini.

Kedua-dua pasukan seri 1-1 pada peringkat pertama di Deutsche Bank Park, bermakna kelab Catalan perlu menang untuk mara ke separuh akhir.

Pada perlawanan pertama, Barcelona beraksi tanpa beberapa pemain utama termasuk Sergino Dest, Memphis Depay dan Ansu Fati yang hanya kembali menjalani latihan ringan dan situasi mereka lebih perit apabila tonggak pertahanan, Gerard Pique mengalami kecederaan.

Namun, menjelang aksi kedua, Pique dan Depay dijangka tampil membarisi kesebelasan utama, menurut laporan Diario AS.

Pique berdepan kecederaan paha pada aksi pertama dan tersisih menentang Levante tetapi pertahanan tengah itu akan menjalani pemeriksaan akhir esok. Jika laporan positif, dia akan dibenarkan beraksi menentang Frankfurt.

Kehadiran pemain veteran itu yang akan meneruskan gandingannya dengan Eric Garcia pastinya melegakan pertahanan Barca.

Memphis pula perlu menunggu ujian esok selepas mengalami kecederaan hamstring pada awal bulan ini dan jika keputusan laporan positif, dia juga akan tampil menentang Frankfurt awal pagi Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 8:26 AM