SEAMUS Coleman menggandakan jaringan Everton dua minit kemudian, apabila menanduk masuk bola sebaik Tom Heaton hanya mampu menepis hantaran Lucas Digne. FOTO Reuters
SEAMUS Coleman menggandakan jaringan Everton dua minit kemudian, apabila menanduk masuk bola sebaik Tom Heaton hanya mampu menepis hantaran Lucas Digne. FOTO Reuters
Reuters

EVERTON mengukuhkan kedudukan mereka dalam misi layak ke Liga Europa musim depan dengan kemenangan 2-0 ke atas Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Skuad Marco Silva melangkah ke tangga kelapan, satu mata ketinggalan berbanding Wolverhampton di tangga ketujuh yang akan menanti kunjungan Fulham malam ini.

Everton meneruskan aksi membanggakan kebelakangan ini, bermula baik dan mendahului seawal minit ke-18 menerusi jaringan Ben Mee ke gawang sendiri apabila pertahanan itu tertolak bola rembatan Richarlison.

Seamus Coleman menggandakan jaringan Everton dua minit kemudian, apabila menanduk masuk bola sebaik Tom Heaton hanya mampu menepis hantaran Lucas Digne.

Jaringan penyerang Burnley Ashley Barnes pula dibatalkan akibat ofsaid tatkala anak buah Sean Dyche yang terselamat daripada penyingkiran memberi ancaman seketika.

Matej Vydra kemudiannya dinafikan peluang penalti apabila bekas pertahanan Burnley Michael Keane dilihat menolaknya di kawasan penalti dan Everton berjaya mengekalkan rekod lapan perlawanan tanpa bolos dalam 10 aksi Liga Perdana.

Penyokong di Goodison Park bersorak kepada penyokong Everton sebagai tanda penghargaan susulan aksi mengagumkan sepanjang 2019.

Jika pendahulu liga, Manchester City menjulang Piala FA, pasukan yang menduduki tangga ketujuh akan layak ke Liga Europa.

“Kami menamatkan musim dengan baik, prestasi kami teruk pada pertengahan musim,” kata Coleman.

"Kami mahu menamatkan saingan di tangga ketujuh, mungkin enam teratas dan melangkah ke hadapan, itu matlamat kami. Kelab ini perlukan trofi dan dengan pengurus dan pemain seperti ini kami perlu mencapai sasaran itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 8:27 AM