PEMAIN JDT bergembira selepas tamat perlawanan. FOTO Johor Southern Tigers
PEMAIN JDT bergembira selepas tamat perlawanan. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Pasir Gudang: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) kembali merampas kedudukan teratas liga daripada Kelantan FC selepas membelasah PDRM FC 5-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, sebentar tadi.

Apapun JDT II pastinya menaruh harapan tinggi kepada Terengganu FC II (TFC II) untuk menewaskan Kelantan FC pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu malam esok bagi mengekalkan kedudukan teratas liga.

Beraksi di padang basah akibat hujan sejak petang tadi tidak menjejas rentak permainan skuad bimbingan Mariano Echeverria yang kerap memberi tekanan terhadap benteng anak didik Wan Rohaimi Ismail tatkala berkerja keras mengekang gerakan berbahaya Fernando Rodriguez dan Moussa Sidibe.

Sidibe hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-18 apabila bijak melakukan sepakan lencong selepas menerima bola lorongan Bienvenido Maronon sehingga memerangkap langkah penjaga gol pelawat, Muhd Asri Muhamad tapi tiang gol sebelah kiri menjadi penyelamat.

Pelawat turut berpeluang mencipta gol pada minit ke-25 apabila bola rembatan deras Mirbek Akhmataliev yang terbias kaki pemain tuan rumah tepat menuju ke gawang gol namun penjaga gol, Rozaimi Mohamad sempat menepis bola keluar.

Ketika memasuki minit ke-29, skuad Sang Saka Biru terlepas peluang keemasan untuk mendahului JDT II selepas bola rembatan deras Mohd Safiee Ahmad di luar kotak penalti hanya singgah di palang gol.

Rozaimi menjad penyelamat gawang JDT II dibolosi pada penghujung babak pertama selepas bertindak cemerlang menepis bola rembatan deras Aliff Naquiddin Shoufi yang berada di posisi terbaik untuk menjaringan gol selepas langsung tidak dikawal pertahanan tuan rumah.

Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama mencipta gol pada minit ke-47 apabila bijak memperdaya Muhd Asri selepas melakukan sepakan lencong sehingga sukar buat penjaga gol PDRM FC itu untuk menghalang bola menerjah jaring.

Tuan rumah terus memberi tekanan terhadap PDRM FC pada minit ke-55, selepas Syamer Kutty Abba mencetak nama selaku penjaring apabila merembat bola kencang menewaskan Muhd Asri bagi meletak JDT II selesa mendahului 2-0.

Rodriguez menghukum kealpaan benteng PDRM FC pada minit ke-67 selepas mudah menyudahkan bola sepakan lintang Muhamad Alif Abdul Mutalip yang melancarkan gerakan di posisi sayap kanan untuk meletak tuan rumah selesa 3-0.

JDT II terus memburu gol selang dua minit kemudian, selepas pemain gantian Gabriel Nistelrooy Tamin bijak mengelirukan benteng pelawat sebelum merembat bola menewaskan Muhd Asri yang terus menjadi mangsa tuan rumah.

Pelawat meraih gol pertama mereka pada minit ke-72 selepas Martin Ademec menyudahkan sepakan percuma dari luar kotak penalti apabila merembat bola leret melepasi celah benteng tuan rumah sekali gus menewaskan Rozaimi.

Berbaki dua minit untuk ditamatkan, tuan rumah menambah derita PDRM FC selepas Maranon menanduk bola masuk menewaskan Muhd Asri berpunca daripada bola sepakan lambung Muhamad Alif bagi menoktahkan kemenangan bergaya JDT II 5-1 pada aksi liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 10:24 PM