FAUZI (kanan) menuntut hak tunggakan gaji sebanyak RM63,628.18. FOTO NSTP
FAUZI (kanan) menuntut hak tunggakan gaji sebanyak RM63,628.18. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kantung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) 'rabak' lagi apabila persatuan itu diarahkan untuk menjelaskan tunggakan gaji kepada 11 bekas pemainnya membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM187,778.92.

Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat pada Khamis lalu, mengarahkan KAFA membayar tunggakan itu segera.

Pengerusi Jawatankuasa terbabit, Mohd Joehari Ayub berkata, pihaknya meneliti dan melihat aduan kes yang diterima oleh pihaknya dan sudah mencapai keputusan itu.

"Tuntutan pengadu sudah diterima sepenuhnya dan Persatuan Bolasepak Kelantan dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada (pemain) tertakluk kepada potongan wajib pendapatan," katanya.

Antara pemain yang menuntut hak mereka ialah Mohd Fauzi Roslan sejumlah RM63,628.18, Muhammad Zulfahmi Awang sebanyak RM50,000.00, Muhammad Afiq Azuan dengan RM32,141.99 dan Wan Mohammed Afiq bernilai RM21,000.00 dengan keempat-empat hutang mereka adalah yang paling tinggi.

Manakala tujuh pemain lagi menuntut tunggakan RM5,000 ke bawah iaitu Mohamad Azzrie Aripin (RM4,075.00), Muhammad Syafiq Syahmi Husin (RM3,877.00), Muhammad Fahmi Izzuddin Ab Rahman (RM2,681.00) dan Ahmad Fathi Irfan Azlan (RM3,279.00).

Ia disusuli Muhammad Fikri Hakim (RM1,289.50), Ahmad Hamzalah Zulkiflee (RM2,681.00) dan Mohamad Fazliera Ezlan Mohd Rosli (RM3,126.25).

Bagaimanapun, KAFA dijangka tidak berdepan masalah untuk menyelesaikan segala tunggakan itu memandangkan mereka sebelum ini menerima wang sebanyak RM3 juta hasil daripada penjualan saham syarikat The Red Warriors (TRW) Sdn Bhd kepada Norizam Tukiman, selain turut diperuntukkan RM3.8 juta bagi membayar tunggakan hutang.

Berdasarkan perjanjian antara kedua-dua pihak, Norizam kini adalah pemilik penuh Kelantan FC yang akan beraksi di Liga Malaysia, sementara KAFA hanya akan memberi tumpuan dari aspek pentadbiran bola sepak di negeri Kelantan sahaja.

Malah, KAFA juga berjanji akan menggunakan hasil penjualan pasukan untuk menyelesaikan segala tunggakan dengan bekas pemain.

Untuk rekod, sebelum ini KAFA sudah menyelesaikan tunggakan pemain import terdahulu, Abou Bakr Al Mel dan Cassio Francisso sekali gus disahkan bebas daripada sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Sementara itu, menerusi keputusan Jawatankuasa Status itu juga menyaksikan Persatuan Bolasepak Melaka diarahkan menyelesaikan tunggakan Curran Ferns dengan jumlah RM97,500.00.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 5:39 PM