BIELSA membimbing Leeds sejak Jun 2018. FOTO Reuters
BIELSA membimbing Leeds sejak Jun 2018. FOTO Reuters
AFP

London: Leeds United memecat pengurus, Marcelo Bielsa selepas mempamer prestasi hambar yang menyaksikan kelab Liga Perdana itu hanya berkelebihan dua mata dari zon penyingkiran.

Tewas 0-4 kepada Tottenham di Elland Road semalam adalah kekalahan kali keempat berturut-turut dialami Leeds yang turut menyaksikan gawang mereka bolos 17 kali sepanjang tempoh itu.

"Leeds United hari ini mengesahkan kelab sudah berpisah dengan ketua jurulatih, Marcelo Bielsa," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Pengerusi Leeds, Andrea Radrizzani pula berkata: "Ini adalah keputusan paling sukar yang perlu saya buat sepanjang tempoh saya di Leeds United, selepas mengambil kira segala kejayaan diraih Marcelo bersama kelab ini."

"Dengan Marcelo bersama kami selaku ketua jurulatih, kami melalui tiga musim yang luar biasa dan kenangan manis di Elland Road. Dia mengubah budaya dalam kelab ini dan membawa mentaliti kemenangan kepada kami semua."

Bielsa membimbing kelab itu bermula Jun 2018 dan pada musim keduanya, beliau menamatkan penantian selama 16 tahun untuk kembali ke Liga Perdana.

Bagaimanapun musim kedua mereka di liga utama itu dihimpit dengan masalah kecederaan selain meningkatkan keraguan taktik diterapkan oleh Bielsa.

Bekas jurulatih RB Leipzig dan RB Salzburg, Jesse Marsch diletakkan selaku calon utama menggantikan tempat Bielsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 8:13 PM