Jurulatih Leeds United, Marcelo Bielsa. FOTO AFP
Jurulatih Leeds United, Marcelo Bielsa. FOTO AFP
AFP

LEEDS mengesahkan pengurusnya, Marcelo Bielsa menandatangani kontrak perjanjian setahun hari ini menjelang aksi pertama kelab itu dalam saingan Liga Perdana dalam tempoh 16 tahun.

"Leeds United berbesar hati mengesahkan Marcelo Bielsa bersetuju menandatangani kontrak baharu dengan perjanjian setahun untuk kekal sebagai ketua jurulatih bagi musim 2020/21" menurut kenyataan dikeluarkan Leeds.

Selepas berjaya membawa Leeds kembali ke liga utama, skuad kendalian Bielsa berdepan cabaran getir bagi permulaan kempen Liga Perdana di tempat lawan menentang penyandang juara, Liverpool tengah malam esok.

Pengendali dari Argentina itu mempunyai sejarah meninggalkan pasukan pada permulaan kempen selepas membiarkan Marseille dengan hanya satu perlawanan pada musim 2015/16 dan diikuti bertahan hanya dua hari sebagai pengendali Lazio setahun kemudian.

Bagaimanapun dia melegakan kebimbangan peminat Leeds semalam dengan memberi bayangan untuk kekal di Elland Road untuk semusim lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 7:09 PM